Datuk Dr. Noor Aziah Mohd. Awal.

KUALA LUMPUR – Ahli parlimen daripada Pas mungkin kurang faham mengenai Akta 164 menyebabkan mereka menentangnya semasa dibahaskan di Parlimen.

Profesor Undang-Undang Keluarga, Wanita dan Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Datuk Dr. Noor Aziah Awal berkata, alasan mereka dilihat menyimpang daripada maksud pindaan RUU164.

“Pindaan yang dinyatakan dalam RUU 164 tidak sama sekali bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana hal ehwal orang Islam dan undang-undang Islam adalah di bawah bidang kuasa negeri dan Mahkamah Syariah sebagaimana termaktub di bawah Perlembagaan itu sendiri.

“Isu utama di bawah Akta 164 melibatkan perkahwinan bukan Islam yang melibatkan suami isteri yang bukan Islam. Jelasnya jika pindaan ini tidak dibuat, pasangan yang telah memeluk Islam akan teraniaya kerana dia tidak boleh memohon untuk membubar perkahwinan bukan Islamnya kerana Seksyen 51 yang lama hanya membenarkan permohonan bagi pasangan yang tidak memeluk Islam.

“Manakala pasangan yang telah memeluk Islam pula tidak boleh memohon kepada Mahkamah Syariah kerana enakmen tiada bidangkuasa untuk mendengar permohonan pembubaran perkahwinan bukan Islam atau hadanah anak dari perkahwinan bukan Islam. Pindaan 121(1A) jelas memisahkan bidang kuasa kedua Mahkamah Sivil dan Syariah,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Noor Aziah yang juga Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan menambah, dakwaan RUU itu membahayakan umat Islam juga tidak benar kerana akta itu
itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam (yang telah berkahwin di bawah Akta 164).

“Isu timbul bila salah seorang pasangan memeluk Islam yang mana Akta ini tidak boleh digunapakai untuk mereka yang beragama Islam.

“Implikasinya adalah perkahwinannya terdahulu tergantung atau “limping marriages”. Namun pindaan ini menyelesaikan isu ini.

“Pasangan yang telah masuk Islam boleh memohon cerai di bawah Akta ini kerana sudah wujud bidangkuasa Mahkamah Sivil terhadapnya. Uniknya tanggungjawab sebelum dia memeluk Islam tidak berubah dengan pengislamannya.

“Malah dia masih wajib menyara anak-anak bukan Islamnya. Perkahwinan bukan Islam adalah merupakan kontrak dan pertukaran agama tidak melupuskan tanggungjawab kontraknya. Keunikan ini menzahirkan lagi prinsip keadilan dalam Islam,” katanya.

Menurutnya, hak umat Islam yang telah memeluk Islam tidak melupuskan tanggungjawab sebelum menjadi Islam.

Pindaan yang dibuat terhadap Akta 164 ini hakikatnya memberi ruang kepada pihak yang telah memeluk Islam untuk menuntut hadanah, harta dan nafkah hasil dari perkahwinan dengan bukan Islam. Sebelum pindaan mualaf tidak boleh buat apa-apa dan ternafi haknya hanya kerana telah memeluk Islam, katanya.

“Akta 164 tiada kena mengena dengan isu status agama anak. Ia hanya memberi jalan keluar kepada Mualaf untuk meneruskan kehidupannya di masa akan datang jika pasangan bukan Islam tidak mahu memeluk Islam,” katanya.

Menurut Noor Aziah, tiada tragedi yang berlaku malah satu kebaikan atau hikmah dan sinar baru kepada sistem keadilan Islam di negara ini.

Malah, katanya, Almarhum Prof Tan Sri Ahmad Ibrahim, arkitek Sistem Perundangan Syariah Negara telah mengusulkan pindaan ini sejak 1986 lagi.

“Alhamdulillah Allah telah memberi kekuatan ini kepada kepimpinan Barisan Nasional untuk meminda Akta 164 kelmarin. Islam akan lebih dihormati kerana orang Islam tidak menganiaya sesiapa malah mengembalikan hak kepada yang berhak. Ia juga memberikan isyarat kepada semua agar tidak menyalahgunakan agama untuk kepentingan diri sendiri.

“Yang paling utama juga membawa mesej penting bahawa memeluk Islam Islam tidak sesekali memutuskan hubungan ayah dan ibu dengan anak masing-masing,” katanya.- MalaysiaGazette