Foto: JBPM

KUALA LUMPUR – Kepakaran yang dimiliki oleh pasukan bomba dan penyelamat dalam berdepan pelbagai situasi berjaya menyelamatkan seorang ibu yang melahirkan anaknya sebelum tiba di hospital.

Pusat Gerakan Operasi (PGO), Bomba dan Penyelamat dalam satu hantaran menerusi aplikasi Whatsapp memaklumkan, ibu berusia 29 tahun itu selamat melahirkan bayinya selepas menerima bantuan daripada seorang anggota bomba wanita di Balai Kota Anggerik, Shah Alam.

Pada mulanya, wanita berkenaan bersama suaminya dalam perjalanan ke Hospital Shah Alam sebelum tiba-tiba merasa sakit selepas air ketubannya pecah.

Mereka kemudiannya singgah ke balai berkenaan untuk mendapatkan bantuan.

Anggota bertugas kemudiannya telah menghubungi pihak hospital untuk tindakan lanjut, katanya.

Tidak lama selepas itu ibu berkenaan selamat melahirkan bayi perempuannya dan diserahkan kepada pihak ambulans untuk prosedur seterusnya.

Sementara itu, Bernama yang menemu bual Pegawai Bomba Kanan II Nor Syuhadah Ahmad, 33, berkata, jeritan seorang ibu yang berada dalam kesakitan hendak melahirkan anak semalam, ‘Kepala bayi sudah hendak keluar dah ni!’masih terngiang-ngiang dalam fikirannya sehingga kini.

Pengalaman menyambut bayi perempuan di tempat duduk hadapan kereta di perkarangan tempat bekerja beliau di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Anggerik dekat sini adalah perkara yang cukup luar biasa bagi Nor Syuhadah.

Nor Syuhadah yang memang tiada pengalaman dalam urusan kelahiran bayi, malah belum mendirikan rumahtangga berkata, beliau terpanggil untuk memberikan bantuan kepada Nyak Siti Nurleena Zulkarnain, 29, yang membatalkan hasrat ke Hospital Shah Alam bersama suami, sebaliknya mencari pertolongan terdekat di BBP Kota Anggerik kerana air ketuban telah pecah.

“Berbekalkan sarung tangan perubatan, saya bertawakal kepada Allah dengan niat hendak menolong wanita itu yang berada dalam kesakitan kerana bayi sudah hendak keluar ketika itu.

“Saya berdebar, baca doa banyak-banyak dan kemudiannya bayi itu keluar, menangis. Saya terbalikkan bayi itu dan mengusapnya, memastikan saluran pernafasan tidak terhalang, dan kemudiannya ambulans tiba,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Nor Syuhadah berkata, sebagai anggota bomba, walaupun latihan hanya tertumpu kepada kebakaran, naluri kemanusiaan mendorong beliau untuk menolong wanita itu, dan beliau gembira apabila kedua-dua ibu dan bayi perempuannya selamat. – MalaysiaGazette. – Bernama