Foto Instagram AC Mizal

KUALA LUMPUR – Salah seorang bekas anggota kumpulan 4U2C iaitu One II atau nama sebenarnya Nirwan Irwan meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital hari ini.

Berita sedih itu dikongsi oleh pengacara dan juga ahli kumpulan itu, Datuk AC Mizal menerusi Instagram.

One II merupakan salah seorang bekas anggota baharu kumpulan 4U2C.

“Salam semua, baru dapat berita bahawa sahabat saya ahli kumpulan 4U2C baru saja meninggal dunia. Sedih teramat aku
bro dengan pemergian kau.

“Teringat aku zaman kita dulu 4U2C. Allah lebih menyayangi, semoga kau ditempatkan bersama-sama orang yang beriman.

“Saya mohon pada semua sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah buat arwah. Tenanglah kau di sana. Saya sayang awak
kawan,” katanya.

Bagaimanapun pengacara program Maharaja Lawak Mega itu tidak memberikan sebarang maklumat lanjut mengenai punca kematian arwah.

Pemilik nama Mizal Zaini, 47, ini turut memuat naik foto lama ketika dia menziarahi Allahyarham di sebuah hospital.

Allahyarham menyertai kumpulan rap popular era 90-an itu selepas perpecahan anggota asal dan sempat merakamkan album berjudul Kembalilah Fiona.

Selain AC Mizal, kumpulan 4U2C dianggotai ahli asal iaitu Azam, Lan, Yan, Joe, Rin dan Adik. – MalaysiaGazette