KIMANIS – Ahli Parlimen Kimanis merangkap Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berikrar akan meletak jawatan berkuatkuasa serta merta, sekali gus keluar UMNO seandainya janji untuk mengembalikan hak istimewa rakyat di negeri itu tidak dilaksanakan.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, menurut Anifah, beliau sangat yakin dengan kepimpinan tertinggi yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengotakan segala janji beliau kepada rakyat Sabah.

“Saya amat yakin pada Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang pada bila-bila masa ini, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap akan menang seperti kebiasannya.

“Saya mahu seluruh pelusuk rakyat dengar ini, seandainya kerajaan BN gagal menunaikan janji untuk mengembalikan hak rakyat Sabah, saya dengan ini akan meletak jawatan berkuatkuasa serta merta malah tidak akan bersama UMNO lagi.

“Tetapi, pada masa yang sama, saya amat yakin Perdana Menteri kita akan menunaikan setiap janji beliau kepada kita, apapun rakyat tetap akan didahulukan,” katanya ketika melawat kawasan semalam.

Jelas Anifah, beliau mahu melihat hak keistimewaan Sabah dikembalikan seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Ini juga antara sebab mengapa saya telah melancarkan inisiatif MySabah dan melakukan perbincangan secara serius berhubung MA63 bersama pemimpin kerajaan serta pembangkang.

“Perdana Menteri telah berjanji untuk memulangkan hak negeri, tidak kira kerajaan Persekutuan telah mengambilnya secara tidak sengaja atau tidak, atau melaksanakn semua yang dipersetujui dalam MA63.

“Saya kenal Najib dan yakin beliau adalah seorang pemimpin yang akan mengotakan setiap janjinya terutamanya jika melibatkan kepentingan rakyat,” tegas Anifah.

Dalam pada itu, ketika mengulas pengembalian semula hak minyak dan gas Sarawak, Anifah berkata, negeri tersebut mempunyai cara tersendiri untuk mendapatkan hak mereka.

“Sabah pula akan menggunakan pendekatan diplomatik iaitu melalui sesi dialog dengan pihak berkepnetingan serta kaedah rundingan, itu cara kami.

“Tidak seperti Sabah, Sarawak tidak layak untuk menuntut 40 peratus daripada keuntungan pendapatan bersih yang dikutip Kerajaan Persekutuaan seperti yang termaktub dalam MA63,” ujarnya.

Sebelum ini, Najib berikrar untuk mengembalikan hak keistimewaan Sabah dan Sarawak, malah pernah mengulangi janji yang sama ketika sambutan Hari Malaysia yang diadakan di kedua-dua negeri tersebut. – MalaysiaGazette