Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail (kanan) dan Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak (kiri) pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 peringkat negeri Pahang diharapkan diperluas ke peringkat kebangsaan dalam agenda membasmi rasuah.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, anugerah tersebut boleh diibaratkan sebagai satu pertandingan yang dapat memberi banyak impak positif khususnya sebagai pemangkin untuk menggalakkan amalan integriti dalam setiap organisasi.

“Anugerah ini ialah suatu inisiatif untuk meningkatkan pembudayaan integriti dan tadbir urus, menerusi pemberian pengiktirafan dan penghargaan kepada sektor awam dan swasta.

“Ia seterusnya  menzahirkan komitmen dalam pembudayaan integriti, tadbir urus terbaik dan inisiatif antirasuah dalam organisasi di mana penyertaan terbuka kepada semua organisasi sektor awam mahupun swasta yang beroperasi di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2020 di Kompleks Yayasan Pahang, di sini, hari ini.

Hadir pada sidang media Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr. Salehuddin Ishak.

Menurut Wan Rosdy, trend rasuah dalam tempoh lima tahun lepas menunjukkan ketirisan dalam sektor perkhidmatan awam sebagai sektor paling berisiko terhadap amalan rasuah.

“Tahap risiko sektor swasta cuma 17.06 peratus tetapi tahap risiko sektor perkhidmatan awam mencecah sehingga 63.30 peratus,” ujarnya.

Menurut Transparency International Malaysia, Malaysia jatuh ke kedudukan ke-57 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (C.P.I) Transparency International 2020. – MalaysiaGazette