Sekolah-sekolah di Iraq ditutup bagi membendung wabak Covid-19.

DUBAI – Pihak berkuasa Iran mengesahkan sekurang-kurangnya 10 kes jangkitan koronavirus dan dua lagi kematian – menimbulkan kebimbangan wabak itu dalam kalangan rakyat.

Jumlah terbaharu itu menjadikan kes jangkitan di Iran meningkat kepada 29 dan enam kematian, menurut jurucakap Kementerian Kesihatan Iran, Kianush Jahanpur.

Kebanyakan kes termasuk lapan jangkitan baru dikesan di Qom, bandar penduduk Syiah yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Tehran.

Susulan peningkatan kes, sekolah dan universiti di Qom ditutup pada hari Ahad dan Isnin dalam usaha mengelak serangan wabak tersebut.

Malah semua pertemuan keagamaan di Qom tidak dibenarkan.

Kementerian Kesihatan berkata, kes jangkitan di Iran berpunca dari negara jiran.

Di Emiriah Arab Bersatu turut mengumumkan dua kes baru semalam – seorang pelancong Iran dan isterinya, menurut agensi berita WAM – menjadikan kes jangkitan meningkat kepada 13.

Lubnan pula mengesahkan kes pertama pada Jumaat lalu, seorang wanita yang baru balik dari Qom.

Berikutan penularan virus di Timur Tengah, Iraq melarang kemasukan warga Iran, menurut agensi berita Baghdad.

Keputusan itu dibuat selepas Iraqi Airways menggantung pesawat ke Iran.

Kuwait Airways juga menggantung semua penerbangan ke Iran mulai Khamis lalu.

Arab Saudi juga mengeluarkan arahan larangan pengembaraan semua rakyat dan ekpatriat ke Iran. – MalaysiaGazette