Fadhlina (kanan) semasa lawatan kerja sempena Pengoperasian Sekolah K11 Secara Rintis di SMK Rancangan Penempatan Semula Betau Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di Lipis hari ini.

LIPIS – Penempatan asrama bagi sekolah rintis Model Khas Komprehensif 11 (K11) iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) RPS Betau di Kuala Lipis akan dipertimbangkan oleh Kementerian Pendidikan.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, penempatan asrama tersebut akan dikaji mengikut keperluan penduduk.

Sekolah komprehensif  K11 adalah pendidikan yang bermula dari tahun satu hingga tingkatan lima di sekolah yang sama di SMK RPS Betau mula menjadi Sekolah Model Khas K11 bermula 13 Mac 2023.

“Asrama untuk penempatan pelajar sekolah rintis Model Khas Komprehensif 11 akan dipertimbangkan oleh pihak kementerian.

“Pelancaran Projek 11 tersebut adalah bagi mengelakkan keciciran dalam kalangan anak-anak Orang Asli. Ia juga bagi memastikan persekolahan mereka dan jaminan kepada pendidikan mereka ini terjamin dalam projek-projek khas seperti ini,” jelasnya.

Sehingga kini hanya dua negeri iaitu Pahang dan Sarawak mempunyai Sekolah Model Khas K11 yang dilihat beroperasi dengan baik.

“Setakat ini selain sekolah ini (SMK RPS Betau) kita ada sebuah lagi sekolah di Long Bedian Sarawak jadi, setakat ini projek rintis K11 satu di Pahang dan satu lagi di Sarawak.

“SK Betau Kuala Lipis khusus untuk anak-anak Orang Asli manakala di Bedian bagi anak-anak pribumi Penan di Sarawak,” katanya.

BACA: Orang Asli Pahang terus terbela bawah BN – Wan Rosdy

Anak Orang Asli kini boleh lanjut pelajaran ke tingkatan 5

Beliau berkata demikian dalam lawatan kerja sempena Pengoperasian Sekolah K11 Secara Rintis di SMK Rancangan Penempatan Semula (RPS) Betau Jabatan Hal Ehwal Orang Asli di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Pahang, Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abdul Razak.

Sementara itu, Wan Rosdy ketika diminta mengulas berkata, kerajaan negeri akan membantu sebaik mungkin bagi memastikan Pendidikan golongan Orang Asli tidak tercicir.

”Sesungguhnya saya amat bersyukur kerana hasrat saya untuk melihat sekolah ini dinaik taraf daripada K9 kepada K11 telah mendapat persetujuan Kerajaan Persekutuan.

“Menerusi penaiktarafan ini sekolah di RPS Betau beroperasi bermula dari Tahun 1 sehingga Tingkatan 5 bermula hari ini.

“Oleh itu, saya berharap dengan penaiktarafan ini, anak-anak Orang Asli di sekitar kawasan Pos Betau mendapat pendidikan yang sempurna serta mengelak daripada berlakunya keciciran persekolahan,” katanya. – MalaysiaGazette