Panglima Angkatan Tentera Jeneral, Tan Sri Affendi Buang menerima kotak makanan daripada Pengasas The Mines Resort Country Heights Holdings, Tan Sri Lee Kim Yew sebagai simbolik penyerahan pada Majlis Penyerahan Kotak Makanan Program Bantu-Bantu Malaysia Kepada Kementerian Pertahanan Sempena Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM di Palace Of The Golden Horses, Selangor . Foto HAFIZ SOHAIMI, 27 OGOS 2021.

SERI KEMBANGAN – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengalu-alukan lebih banyak pihak sektor korporat dan swasta menghulurkan bantuan kotak makanan untuk membantu para veteran tentera dan keluarga mereka yang terjejas akibat Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Panglima ATM, Tan Sri Affendi Buang berkata, inisiatif itu sangat perlu kerana lebih 15,000 veteran ATM dan keluarga yang hilang punca pencarian memerlukan bantuan barang keperluan asas dengan kadar segera.

“Sebenarnya inisiatif ini sangat penting untuk kami menangani isu ekonomi yang dihadapi keluarga veteran ATM yang kini dikenalpasti menjadi golongan B40 sepanjang pandemik ini dan kami mengaturkan bantuan kotak makanan secara one off kepada mereka.

“Saya mengambil peluang ini dan menyeru lebih ramai badan-badan NGO, korporat, swasta dan individu-individu berkebajikan masyarakat seperti Tan Sri Lee Kim Yew untuk sentiasa mendukung usaha ATM dan menghulurkan sumbangan demi membela nasib golongan Veteran ATM dan balu mereka diseluruh negara,” katanya dalam sidang media majlis tersebut di sini.

Terdahulu beliau menerima bantuan kotak makanan sebanyak 10,000 unit daripada Kim Yew yang merupakan Pengasas The Mines Resort dan Country Heights Holdings menerusi NGO Bantu-Bantu Malaysia di Palace of The Golden Horses pagi tadi.

Inisiatif Gerobok Rezeki Veteran ATM ini merupakan kesinambungan daripada Program Mindef Prihatin yang dilancarkan Kementerian Pertahanan pada 19 Julai lalu bertujuan meringankan beban warga Pertahanan termasuk juga Veteran ATM dan keluarga mereka yang terjejas akibat Covid-19.

Menurut Affendi, di seluruh negara terdapat lebih 270,000 anggota Veteran ATM yang berdaftar namun hanya 15,000 sahaja yang tergolong sebagai B40 dan terjejas akibat pandemik memerkukan bantuan makanan dengan segera.

Menyedari situasi ini, kata Affendi kesemua 10,000 kotak makanan itu akan diagihkan menerusi Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM di seluruh negara.

“ATM sendiri meneruskan program bantuan menerusi konsep Gerobok Rezeki dengan meletakkan makanan di masjid dan surau di kem kem dan pengkalan tentera supaya mereka yang memerlukan akan datang ambil,” katanya.

Dalam pada itu Kim Yew juga mengumumkan bahawa pihaknya akan menambah 10,000 lagi kotak makanan kepada ATM untuk disalurkan segera kepada veteran ATM dan keluarga mereka dengan segera selepas ini.

“Tadi saya dah serahkan 10,000 kotak makanan menerusi pertubuhan Bantu-Bantu Malaysia dan selepas ini saya akan menambah 10,000 lagi kotak makanan untuk kebajikan Veteran ATM segera nanti dan inisiatif ini akan diteruskan erat bersama ATM tahun ini,” katanya.-MalaysiaGazette