Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memutuskan untuk memberi tiga kebenaran khas eksport komoditi berasaskan ayam ke luar negara.

Tiga kebenaran khas itu adalah pengeksportan ayam daging berwarna termasuk ayam kampung dan ayam hitam.

Selain itu, semua produk berasaskan ayam dan stok induk anak ayam tua harian (DOC) sahaja.

Menerusi kenyataan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, keputusan dibuat setelah mengadakan beberapa siri perbincangan terperinci dengan pemain-pemain industri dan persatuan penternak berhubung dengan perkara berkenaan.

“Kerajaan menegaskan bahawa larangan eksport untuk ayam pedaging, ayam bulat, keratan ayam dan anak ayam Day Old Chick (DOC) umur sehari ayam pedaging masih kekal berkuatkuasa.

“Kawalan secara fizikal di semua pintu keluar akan terus dilaksanakan oleh pegawai penguatkuasa MAQIS dan sebarang aktiviti untuk mengeksport komoditi berkenaan tidak dibenarkan.

“Konsain eksport komoditi tersebut perlu diuruskan sewajarnya oleh pemilik permit,” katanya.

Menurut MAFI lagi, kerajaan memandang serius sekiranya terdapat sebarang penyalahgunaan terhadap kebenaran khas tersebut dan sekiranya terdapat perlanggaran, tindakan di bawah subseksyen 11(2) dan 11(3), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 [Akta 728] boleh diambil jika sabit kesalahan.

Tegasnya, denda juga boleh dikenakan tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya.

Manakala bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya, katanya.

Tambah kenyataan itu, kerajaan akan terus memantau keadaan bekalan ayam dalam negara yang semakin beransur pulih dan dijangka kembali stabil mulai Jun ini.

Sehubungan itu katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumbalas berkaitan larangan eksport komoditi ayam, bolehn dikemukakan melalui email kepada [email protected]. – MalaysiaGazette