Ras Adiba Radzi

BATU GAJAH – Ahli Dewan Negara, yang mewakili golongan Orang Kurang Upaya (OKU), Senator Ras Adiba Radzi, bercadang membangkitkan isu penggunaan bahasa isyarat sebagai bahasa ketiga pada persidangan Dewan Negara akan datang.

Bekas personaliti televisyen itu berkata ia adalah bagi memudahkan komunikasi antara OKU dengan semua golongan masyarakat sekali gus menjadikan negara ini mesra OKU.

“Pendekatan ini boleh dilaksanakan mulai peringkat Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska), sekolah dan institut pengajian tinggi supaya apabila mereka menamatkan pengajian, mereka boleh berkomunikasi dengan golongan OKU semasa bekerja kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa menghadiri majlis penyampaian kerusi roda percuma kepada 51 OKU di sekitar Batu Gajah melalui Yayasan Suara Rakyat Malaysia, di sini, hari ini.

Dilantik sebagai Senator pada 20 Mei lepas, beliau kini berusaha mendapatkan pekerjaan untuk golongan OKU dalam pelbagai sektor termasuk perkhidmatan awam.

Menurut Ras Adiba, beberapa latihan khas akan dilaksanakan dengan kerjasama agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha membantu OKU meningkatkan potensi diri bagi memperoleh pekerjaan.

Beliau pada masa sama menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meningkatkan penguatkuasaan terhadap sesiapa yang menyalahgunakan hak OKU terutamanya ruang parkir.

“Penguatkuasaan sangat penting bagi memberi kesedaran kerana masih terdapat pengguna yang menggunakan ruang parkir khas untuk OKU walaupun mereka bukan golongan ini.

“Mungkin PBT boleh meletakkan papan tanda sebagai peringatan dan mengenakan denda antara RM200 hingga RM500 sekiranya terdapat individu menyalahgunakan parkir untuk OKU,” katanya.- BERNAMA