Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien

LUMUT – Kesediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghantar ketenteraan ke Baitulmaqdis bukanlah untuk berperang sebaliknya memastikan keamanan dan kestabilan negara itu terjamin.

Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Malaysia memainkan peranan itu bagi memastikan kestabilan Tebing Barat itu terjamin selain menjaga imej Islam agar tidak dicemari.

“Apa juga yang kita lakukan bukanlah untuk berperang, tetapi untuk pastikan keamanan, untuk pastikan kestabilan dan rantau itu tidak bergolak dan pastikan imej Islam tidak dicemari dengan persepsi serong oleh pihak tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Transformasi Kompleks Mutiara Armada dan Kempen #PerkasaPerwira di Dewan Shariff, Pangkalan TLDM Lumut hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Panglima Angkatan Tentera Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Pengerusi Perbadanan Perwira Niaga Malaysia (Pernama) Jeneral (B) Tan Abdul Aziz Zainal.

Baru-baru ini, lidah pengarang Jews News cuba bermain api apabila berita mengenai kesediaan tentera Malaysia untuk menyumbang peranan dalam isu Baitulmaqdis dijadikan bahan lawak oleh portal berkenaan.

Lampiran berita berkenaan yang tertera bertajuk “Tentera Malaysia bersedia main peranan membantu Muslim (merujuk isu Palestin)” disertakan kapsyen ketawa dengan kenyataan “kami boleh hancurkan Malaysia dalam satu saat”.

Hishammuddin yang juga menteri tugas-tugas khas berkata bukan perkembangan isu di Palestin sahaja dipantau secara dekat, malah negara Timur Tengah seperti, Syria, Iraq, Qatar, Yemen, Lubnan turut dipantau kerana Malaysia mempunyai anggota tentera bawah misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Justeru, Hishammuddin meminta orang ramai tidak mensensasikan sesuatu sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

“Ini musuh Islam mahukan kita berpecah, berkelahi, berperang sesama kita, ini bukan cara Malaysia, ini bukan cara ATM. Yang penting perkara tersebut menjadi pegangan kita melalui prinsip dan nilai kesejagatan,” katanya.

Beliau turut menyentuh konsep wasatiyyah dan pendirian ATM adalah jelas yang tidak berbelah bahagi apabila menyentuh berkaitan hal agama Islam.- MalaysiaGazette