WASHINGTON – Pasukan keselamatan Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan beberapa kemungkinan untuk meningkatkan kawalan keselamatan negara, mencakupi pembinaan rangkaian 5G.

Rangkaian 5G itu adalah sebahagian usaha yang diambil bagi menangani ancaman siber diberikan China terhadap aspek keselamatan siber dan ekonomi AS.

Sumber kanan dari bahagian pentadbiran berkata, ia merupakan susulan tindakan China mengintip panggilan telefon dibuat kerajaan AS selama ini.

Sumber berkenaan yang mengesahkan intipati laporan Axios.com menambah perkara itu sedang dibahaskan pada peringkat bawahan dan bakal mengambil masa antara enam hingga lapan bulan sebelum diputuskan oleh Presiden.

Sejak mengambil alih tampuk kepimpinan, Presiden Donald Trump dilihat mengambil pendekatan lebih keras untuk beberapa isu termasuk peranan Beijing dalam mempengaruhi Korea Utara dan usaha China dalam industri strategik AS.

Awal bulan ini, AT&T diarah membatalkan rancangan untuk membekalkan pelanggan mereka dengan telefon bimbit jenama Huawei buatan China selepas beberapa ahli Kongres melobi menentang idea itu.

“Kami mahu membina rangkaian sendiri untuk menghalang China daripada mendengar semua perbualan,” kata sumber berkenaan. – MalaysiaGazette