Replika contoh rumah peneroka di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

BENTONG – Dalam tempoh beberapa jam lagi sejarah akan terukir di penempatan Felda Lurah Bilut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan hadir ke sana dan seterusnya merasmikan Felda 2.0 dan Lembah Digital Bilut.

Mengapa Felda Lurah Bilut? Sejarah Bilut asalnya adalah sebuah lembah di Banjaran Titiwangsa bersempadankan Sungai Bilut dan Hutan Simpan Klau. Bilut adalah sejenis ikan darat yang nama saintifiknya Krytopterus Cryptopterus.

Felda telah memilih Lurah Bilut di Pahang sebagai rancangan pertama untuk dimajukan. Pada 16 Ogos 1957, Felda telah mengemukakan cadangan pembangunan di Lurah Bilut secara rasmi kepada Kerajaan Negeri Pahang yang kemudiannya meluluskan cadangan tersebut.

Pada 1 April 1958 bermulalah pembangunan Lurah Bilut yang melibatkan kawasan seluas 12,920 ekar. Ia telah diilhamkan sendiri oleh Tun Abdul Razak Hussein. Penghijrahan masuk ke kampung adalah secara berperingkat-peringkat dengan bilangan peserta seramai 616 orang. Ia terdiri daripada berbagai kaum iaitu iaitu 400 orang berketurunan Melayu, Cina (169 Orang) dan India (47 Orang).

Pada peringkat awal penempatan, semua kerja-kerja pembinaan rumah dan penanaman getah diusahakan secara gotong-royong.

Replika patung yang menunjukkan aktiviti pembinaan rumah terawal peneroka Felda di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Samad berkata, pemilihan Felda Lurah Bilut untuk pelancaran Felda 2.0 dan Lembah Digital adalah langkah transformasi iaitu membawa perubahan balik semula Felda kepada arah yang baru dan moden.

Felda merupakan agensi yang sudah lama berdiri dan perlu membuat perubahan yang agak berlainan dari dahulu agar menyuntik elemen yang baru kepada semua peneroka dan generasi baharu tanpa melupakan asal-usul kwujudannya.

Lurah Bilut sendiri mempunyai potensi untuk semua perkara termasuk pembangunan, pendidikan, pelancongan dan ‘human development’.

“Saya rasa ini satu peluang untuk bawa satu perubahan balik semula Felda. Felda sebagai agensi atau ‘badan’ pun dah ‘tua’, jadi mesti buat sedikit transformasi. Pembangunan dan perubahan Felda di bawah Bilut 2.0 agak berlainan dari dahulu.

“Ada elemen dahulu tapi kita perbaharui dan menjadikan di Lurah Bilut sebagai permulaan transformasi keseluruhan FELDA itu sendiri. Contohnya di Lurah Bilut ada muzium, menjadi tumpuan pelancong tempatan dan pastinya akan menarik pelancong tempatan.

“Kalau kita balik asal pembukaan Lurah Bilut sebenarnya satu eksperimen sebelum ada akta Lembaga Tanah Kemajuan dibuka dan dibuat. Lurah Bilut sebagai satu inovasi eksperimen dan ini kita perlu faham dengan betul di mana eksperimen itu adalah reformasi yang berani ketika itu. Tiada tanah atau model di mana-mana negara pun.

“Perlu faham juga bukan hasrat kerajaan untuk rakyat membangunkan tanah tetapi yang dihasrat oleh kerajaan dan Felda adalah pembangunan insan – ‘human development’, membangungkan kehidupan manusia yang betul, beri tanah, beri pekerjaan dan hasilnya, merasa segala keringat yang ditabur,” kata Shahrir.

Sebahagian peralatan yang digunakan oleh peneroka untuk membuka kawasan pertanian di Muzium Felda Lurah Bilut, Pahang. foto IQBAL BASRI, 03 FEBRUARI 2018

Sementara itu persiapan untuk perasmian Felda 2.0 dan Lembah Digital Bilut telah masuk ke ‘gear terakhir’ hari ini. Shahrir dan para pegawai Felda yang terlibat termasuk warga Felda Lurah Bilut kelihatan bersungguh-sungguh bagi memastikan pelancaran majlis berkenaan.

Difahamkan pelancaran akan dibuat secara ‘video conferencing’ untuk ditayangkan ke seluruh tanah rancangan di Malaysia dengan menggunakan satelit. Felda Lurah Bilut akan menjadi tanah rancangan pertama menjadi bandar pintar, dengan sasaran meletakkan penempatan itu di dalam peta digital.

Projek yang dijangka mengambil masa lima tahun itu bukan saja membolehkan penduduk menggunakan Internet berkelajuan tinggi, malah membuka peluang ekonomi, khususnya dalam aspek usahawan digital, pertanian moden serta ekopelancongan kepada penduduk setempat.

Selain untuk menarik orang luar, sama ada pelancong atau pelabur datang ke FELDA Lurah Bilut, ia juga untuk mengekalkan penduduk setempat, khususnya generasi selepas peneroka dengan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan kepada mereka.

Projek ini bermula dengan pembangunan infrastruktur asas, khususnya capaian Internet berkelajuan tinggi sehingga 100Mbps menggunakan jalur lebar gentian optik.

Capaian Internet itu bakal menjadi pemangkin dan disokong dengan pembangunan infrastruktur lain seperti Muzium FELDA, inap desa, taman rekreasi, ruang perniagaan Dataran Tun Razak, landskap sungai serta laluan pejalan kaki di tebing sungai sebagai tarikan pelancong. – MalaysiaGazette