Anggota Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) memantau keadaan banjir yang mulai surut mengakibatkan kira-kira 20 buah rumah didiami hampir 100 penduduk di Kampung Tengah, Pulau Gadong di sini dinaiki bah susulan hujan berterusan sejak jam 5 pagi tadi.

MELAKA – Kira-kira 20 buah rumah didiami hampir 100 penduduk di Kampung Tengah, Pulau Gadong di sini dinaiki banjir susulan hujan berterusan sejak jam 5 pagi tadi.

Bagaimanapun, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Melaka Tengah merangkap Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kapt (PA) Awang Bohari Awang Ahet berkata, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) di buka setakat jam 12 tengah hari tadi.

“Hujan lebat selama hampir empat jam bermula 5.15 pagi tadi mengakibatkan hampir 100 penduduk di 20 buah rumah Kampung Tengah, Pulau Gadong terjejas.

“Banjir kilat mengakibatkan ada sebahagian rumah penduduk dinaiki air sehingga paras 0.5 meter namun tiada PPS dibuka kerana air telah beransur-ansur surut bermula jam 10 pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, selain melakukan pemantauan berterusan, pihaknya akan terus mendapatkan maklumat semasa daripada penduduk dan penghulu kawasan.

“Banjir kilat ini juga berpunca daripada keadaan paras air meningkat akibat air laut pasang besar dan Sekretariat JPBD akan terus melakukan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.