Kok Chin (tengah) bercakap pada sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bayan Lepas dalam Parlimen Balik Pulau dan DUN Permatang Pasir, Parlimen Permatang Pauh dikenal pasti sebagai hot spot pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, selain itu, menerusi Op Cantas pihaknya juga telah mengenal pasti kawasan membabitkan kongsi gelap yang dibimbangi mempengaruhi dan mengganggu perjalanan PRN.

“Kita juga mempunyai senarai ‘bad character’ di kawasan pilihan raya selain memantau badan bukan kerajaan (NGO) menerusi media sosial yang dipercayai berselindung ‘disebalik’ kongsi gelap, membantu kempen atau menimbulkan kegusaran awam.

“Siapa mereka (kongsi gelap) aktif atau tidak dan berapa jumlah keseluruhan di Pulau Pinang, semuanya kita sudah ada senarai malah kita akan pastikan mereka tidak jadi orang tengah serta mengganggu proses PRN,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini, hari ini.

Menurut Kok Chin, seramai 6,776 pegawai dan anggota bagi Kontinjen Pulau Pinang serta tambahan 663 anggota dari Bukit Aman terbabit dengan penugasan sepanjang PRN di negeri ini.

“Sebanyak 23 pusat penamaan calon yang mana sembilan di daerah Timur Laut, masing-masing lima di Barat Daya dan Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Utara (tiga) dan satu di Seberang Perai Selatan.

“Keseluruhan penugasan keanggotaan yang paling ramai adalah membabitkan daerah Timur Laut iaitu seramai 1,641 pegawai dan anggota,” katanya.