KUALA LUMPUR – Bayaran Khas Aidilfitri 2018 kepada penjawat awam sebanyak RM1,500 yang diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Oktober 2017 sebenarnya tidak disediakan dalam Bajet 2018.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataannya hari ini berkata, perkara itu disahkan oleh Pejabat Akauntan Negara menerusi Surat Pekeliling Akauntan Negara Malaysia (SPANM) Bilangan 5 Tahun 2017 yang membatalkan perkara tersebut dan diganti dengan SPANM Bilangan 1 Tahun 2018.

“Akauntan Negara Datuk Saat Esa mengesahkan peruntukan Bayaran Khas Aidilfitri seperti yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri dalam Bajet 2018 pada 27 Oktober 2017 perlu diluluskan dalam sidang Parlimen pada Julai 2018 ini sebagai Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2018.

“Maka, kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng baru-baru ini bahawa peruntukan tambahan atau Rang Undang-undang Akta Perbekalan Tambahan untuk bayaran khas Aidilfitri kepada penjawat awam dan pesara masih perlu diluluskan dalam sidang Parlimen Julai ini adalah tepat sekali,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 30 Mei 2018 mengumumkan kerajaan telah meluluskan Bayaran Khas Aidilfitri RM400 kepada penjawat awam, Gred 41 dan ke bawah manakala RM200 diluluskan untuk pesara.

Susulan pengumuman itu, Guan Eng telah menyatakan Kerajaan Persekutuan akan memohon peruntukan tambahan bagi membiayai keperluan perbelanjaan berkenaan dalam sidang Parlimen yang akan datang.

Kementerian Kewangan juga berkata, ada pihak berpendapat bahawa peruntukan permohonan tambahan telah disediakan dalam Bajet 2018 kerana mantan Perdana Menteri telah mengumumkan bayaran khas sebanyak RM1,500 kepada semua penjawat awam dalam Ucapan Bajet 2018 tahun lalu.

“Tetapi sebenarnya, peruntukan bagi pengumuman bayaran tersebut tidak disediakan dalam Bajet 2018,” katanya lagi.

Sebelum ini juga, bekas Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2018 mengumumkan bayaran khas RM1,500 kepada semua penjawat awam, iaitu RM1,000 diberikan pada awal Januari 2018 dan RM500 menjelang Aidilfitri.

Sementara itu, pesara kerajaan menerima bayaran khas RM750, iaitu RM500 diberikan pada Januari 2018 dan RM250 lagi menjelang Aidilfitri.

Bayaran  Khas Aidilfitri 2018 itu bakal bagi membantu lebih 1.6 juta kakitangan sektor awam untuk membuat persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri yang dijangka diraikan umat Islam pada minggu depan. – MalaysiaGazette