IPOH – Tiga daripada 10 jenazah mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas di Pangkalan TLDM Lumut pada Selasa, selesai dibedah siasat malam tadi.

Difahamkan, proses bedah siasat yang dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) itu melibatkan tiga mangsa wanita.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut diperoleh setakat ini berkenaan identiti kesemua mangsa tersebut.

Sementara proses bedah siasat tujuh mangsa lain pula disambung hari ini sebelum kesemua jenazah dituntut waris untuk urusan pengkebumian.

Pada perkembangan sama, puluhan waris mangsa mula berkumpul di perkarangan Jabatan Forensik HRPB seawal jam 7 pagi tadi.

Difahamkan, kehadiran mereka antara lain bagi menuntut jenazah yang akan dikebumikan mengikut istiadat Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Di samping itu, suasana di pekarangan Jabatan Forensik HRPB berkenaan tenang dan terkawal selain turut kelihatan beberapa kenderaan membawa pegawai tentera tiba.

Terdahulu, media melaporkan dua helikopter milik TLDM terhempas ketika menjalani latihan raptai Sambutan Ulang Tahun Perbarisan Hari TLDM Ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada jam 9.30 pagi, Selasa.

Tragedi itu mengorbankan 10 pegawai dan anggota TLDM ter­ma­suk tiga wanita dari Skuadron 502 yang berpangkalan di Lumut serta Skuadron 503 berpangkalan di Kota Kinabalu, Sabah.

Dua pesawat itu iaitu model Fennec dan HOM AW139 yang berlepas dari Padang Sitiawan kira-kira pukul 9.03 pagi itu dipercayai bertembung ketika mela­kukan latihan penerbangan sebelum terhempas di Pangkalan TLDM. -MG Perak

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here