ar selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kerja-kerja pembaikan paip pecah di Jalan Kuari, Kampung Cheras Baru di sini telah siap dilaksanakan pada jam 4.15 pagi tadi.

Bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna di kawasan yang terjejas setelah bekalan air bersih melalui ujian kualiti dan mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pengurusan Air Selangor berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

Bekalan air di kesemua kawasan yang terjejas dijangka pulih sepenuhnya pukul 4 pagi esok.

Sehubungan itu, bantuan air alternatif melalui lori-lori tangki akan terus digerakkan di kawasan yang terjejas dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, pusat dialisis dan upacara pengkebumian.

Para pengguna diharap dapat mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mengambil bekalan air daripada lori-lori tangki ini.

Air Selangor menyarankan para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

Mereka juga berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakannya secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan. – MalaysiaGazette