Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah hari ini melawat makam bekas menteri Luar Thailand, yang juga bekas setiausaha agung Asean Tan Sri Dr Surin Pitsuwan.

BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah hari ini melawat makam bekas menteri Luar Thailand, yang juga bekas setiausaha agung Asean Tan Sri Dr Surin Pitsuwan.

Perdana Menteri Malaysia ke lima itu tiba di tanah perkuburan Muslim yang terletak di sebelah Masjid Tha-It di Nonthaburi, Bangkok di mana negarawan itu disemadikan.

Turut hadir ialah duta besar Malaysia ke Thailand Datuk Jojie Samuel, Pengerusi Pertubuhan Legasi Tun Abdullah Ahmad Badawi, Datuk Jefridin Atan dan Felo Pengajian Islam di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Datuk Dr Afifi al-Akiti.

Surin merupakan Timbalan Menteri Luar Thailand dari 1992 sehingga 1995 dan kemudiannya menjadi menteri luar Thailand dari 1997 sehingga 2001.

Beliau dinamakan sebagai setiausaha agung ASEAN pada 1 Jan, 2008, dan semasa menduduki jawatan setiausaha agung ASEAN selama lima tahun, beliau merangkul pelbagai kejayaan dalam aspek diplomatik.

Cendekiawan yang kemudiannya menjadi ahli politik serta diplomat itu meninggal dunia akibat serangan jantung pada 30 Nov 2017.

Surin, yang dilahirkan di wilayah Nakhon Si Thammarat meninggalkan seorang isteri Alisa dan tiga anak.

Tun Abdullah dan Tun Jeanne kemudiannya melawat Alisa di kediamannya di Rattanathibet Road, Nonthaburi, dan menghabiskan masa kira-kira sejam di sana.

Tun Abdullah yang tiba di Bangkok hari ini untuk lawatan rasmi tiga hari ke Thailand, dijadualkan merasmikan “Memorial Talk of Dr Surin Pitsuwan” di Nakhon Si Thammarat di selatan Thailand, Selasa.

— BERNAMA