Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-18 (MAPPA XVIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 30 OGOS 2022.

PUTRAJAYA – Setakat ini Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz akan membentangkan Bajet 2023 di Parlimen pada 7 Oktober ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, khabar angin mengatakan beliau akan membentangkan bajet itu belum muktamad.

“Belum tahu siapa lagi, setakat ini Menteri Kewanganlah. Kita kena tengok (peraturan dahulu).. kalau tak boleh (Perdana Menteri bentang), tak bolehlah.

“Apapun kita tunggu nasihat daripada Peguam Negara. Kalau saya nak.. itu kalau saya nak (bentang). Tapi setakat ini masih lagi Menteri Kewangan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Perdana Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul ura-ura terutama daripada pembangkang yang mendakwa Perdana Menteri sendiri akan membentangkan Bajet 2023, bukan Menteri Kewangan seperti kebiasaan.

Mengenai Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO baru-baru ini, beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, mereka berbincang dalam keadaan dan suasana mesra.

“Tak ada apa (ketegangan seperti didakwa). Semua team MKT berbincang malam itu dalam keadaan yang mesra.

“Tidak ada apa-apa isu. Kadang-kadang orang luar lihat lain daripada apa yang berlaku dalam mesyuarat itu.

“Saya nak ulangi, tak ada apa-apa isu sebenarnya. Perbezaan pandangan adalah perkara biasa, itu diraikan,” katanya. – MalaysiaGazette