Watak-watak dalam tiga Abdul
FILEM Tiga Abdul merupakan karya seni seniman agong Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang mula ditayangkan pada tahun 1964 di Singapura. Filem ini telah dibintangi oleh Allahyarham Haji Mahadi (Abdul Wahab),Allahyarham S.Kadarisman (Abdul Wahib),Allahyarham Tan Sri P.Ramlee (Abdul Wahub) dan beberapa orang seniman lagi.
Filem ini mengisahkan tentang perebutan harta oleh tiga adik-beradik abdul setelah kematian bapa mereka iaitu Ismet Ulam Raja yang merupakan seorang pembesar di wilayah Isketambola dan juga orang kaya yang banyak meninggalkan harta.
Banyak nilai pengajaran yang kita perolehi dalam filem karya Tan Sri P Ramlee ini.Dalam penulisan ini,saya ingin mengutarakan peranan penting yang dimainkan oleh anak bongsu kepada Ismet Ulam Raja iaitu Abdul Wahub yang menyelamatkan harta peninggalan bapa mereka ke tangan orang lain akibat daripada sikap tamak Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang sanggup berkahwin dengan anak gadis Sadiq Segaraga (Allahyarham Ahmad Nisfu) sehingga harta peninggalan areah bapa mereka menjadi milik Sadiq Segaraga.
Bagi merampas semula harta peninggalan ayahanda beliau daripada tangan Sadiq Segaraga ,Abdul Wahub telah merangka stratergi yang amat licik dengan menggunakan harta peninggalan ayahandanya di luar negara untuk dijadikan umpan bagi melamar anak gadis Sadiq. Abdul Wahub telah pergi berjumpa dengan Sadiq Segaraga bagi menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan anak gadisnya iaitu Ghasidah.
Sadiq Segaraga telah memberi syarat yang sama kepada Abdul Wahub seperti mana syarat yang diterima oleh Abdul Wahab dan Abdul Wahib sehingga memakan diri mereka sendiri. Dengan kebijaksanaannya, Abdul Wahub mengatakan syarat tersebut merupakan syarat berat sebelah dan rundingan perlu dilakukan bagi mencari titik persamaan.
Atas nasihat yang diberikan oleh penasihatnya, Kassim Patalon (Allahyarham Salleh Kamil) kepada Sadiq Segaraga,beliau bersetuju dengan syarat yang dikemukakan oleh Abdul Wahub iaitu sekiranya Sadiq Segaraga melanggar syarat perjanjian,beliau akan dijual dan segala hartanya akan dirampas. Kebijaksanaan Abdul Wahub dalam melakukan rundingan telah berjaya menjerat musuhnya.
Selain itu,nilai kesabaran yang tinggi dalam diri Abdul Wahub terhadap serangan halus Sadiq Segaraga kepada dirinya telah memberi kelemahan kepada musuhnya sendiri.
Contohnya,apabila Abdul Wahub pulang ke rumah,beliau tidak dibenarkan makan makanan yang dihidangkan dan hanya sekadar mengambil bau aroma sahaja serta tidak dibenarkan tidur bersama isterinya di dalam bilik tetapi diarahkan tidur di kandang kuda.
Tindakan Abdul Wahub mengikut arahan tersebut tanpa berasa marah telah mengelirukan Sadiq dan pembantunya. Sebaliknya Sadiq Segaraga yang berasa marah kerana Abdul Wahub telah membawa pulang seorang wanita lain ke rumah serta menari di ruang tamu rumah bagi menyakitkan hati bapa mertuanya.
Rancangan Abdul Wahub sekali lagi berjaya setelah Sadiq Segaraga berasa marah dan hampir melanggar syarat perjanjian.
Sifat amanah dan kebertanggungjawaban Abdul Wahub terhadap harta peninggalan arwah bapanya seharusnya perlu ada dalam setiap diri pemimpin. Dia sanggup menjalinkan hubungan dengan musuhnya bagi menyelamatkan hartanya yang jatuh ke tangan orang yang salah. Setelah Sadiq Segaraga melanggar syarat perjanjian,beliau dan dua orang anak perempuannya serta Kassim Patalon telah dijual sebagai hamba di pasar dan segala hartanya telah dirampas semula oleh Abdul Wahub.
Justeru itu, Abdul Wahub juga masih mempunyai nilai kasih sayang terhadap adik beradiknya dan isterinya Ghasidah. Bagi menjernihkan semula hubungan dia dan musuhnya,Abdul Wahub telah membeli abangnya,Abdul Wahab dan Abdul Wahib yang dijadikan hamba oleh seorang usahawan unta serta membeli Sadiq Segaraga dan dua orang kakak isterinya untuk dibawa kembali ke rumah peninggalan bapanya.
Setelah semua orang berjaya dibeli, Abdul Wahub telah menngeratkan semula hubungan silaturahim mereka sebagai sebuah keluarga besar. Abdul Wahub sedia memaafkan kesilapan abangnya dan musuhnya dengan membuang sifat dendam dan marah dalam dirinya. Bak kata pepatah,air yang dicincang,tidak akan putus.
Dalam pengakhiran filem tersebut,kita dapat saksikan keluarga mereka berjaya disatukan dan kasih sayang dalam kekeluargaan dapat dijalinkan.
Tuntasnya, Allahyarham Tan Sri P.Ramlee telah berjaya menyerapkan nilai moral dalam filem Tiga Abdul iaitu nilai kesabaran dalam perjuangan,kebijaksanaan dalam merangka strategi dalam melakukan perjanjian serta membuang sifat dendam kepada seseorang.
Semoga industri filem negara dapat menghasilkan filem setanding dengan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee. Mari kita sedekahkan al-fatihah kepada mereka dan semoga roh mereka ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.
Muhammad Azha Salahudin
AMK Setiawangsa