Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Langkah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron yang meletakkan nasib politiknya di tangan Pakatan Harapan (PH) boleh disifatkan sebagai langkah bunuh diri.

Menurut Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr. Ibrahim Ali, adalah lebih baik bekas Ketua Menteri Melaka itu bertanding atas tiket bebas bagi mendapat sokongan ahli-ahli UMNO.

“Bila tiba PRN Datuk Seri Idris Haron patutnya bertanding secara bebas dan akan menang kerana di julang sebagai Wira Rakyat Melaka. Ahli ahli UMNO juga sebahagian akan undi Idris Haron kerana ahli-ahli UMNO juga mahu membersihkan UMNO yang dilihat sudah kotor dengan berbagai isu.

“PH tidak perlu meletakkan calon di tempat Idris Haron bertanding, malah memberi sokongan kepada beliau, beliau akan menang besar. Jelas permainan yang dicatur setakat ini nampak gopoh. Idris patut mempamerkan beliau alat rakyat Melaka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isnin lalu, Idris dan tiga lagi bekas ADUN menyerahkan ‘nasib dan nyawa politik’ mereka kepada Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 20 November ini.

Idris berkata, meskipun faham mengenai perubahan budaya dalam politik, beliau bersama tiga lagi ADUN akan tetap bersama PH dengan menyerahkan nasib politik mereka pada masa depan.

Ibrahim dalam itu berkata, Idris sepatutnya pandai membuat percaturan politik selepas menarik balik sokongan terhadap bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, Idris yang mengetuai gerakan itu sepatutnya menggesa agar Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam menubuhkan kerajaan baru dengan memanggil semua ADUN Melaka dan mencari ADUN yang mendapat sokongan majoriti untuk dilantik ketua menteri baharu.

“Beliau tidak perlu menyebut PH patut menubuhkan Kerajaan dan seolah-olah beliau bakal KM. Mungkin ini yang menyebabkan Tun Mohd Ali terburu-buru membubar DUN Melaka seolah-olah mahu menghalang jangkaan PH akan mendapat sokongan majoriti untuk menubuhkan Kerajaan. Proses untuk ganti Kerajaan baru terbantut kerana DUN Melaka dibubar.

“Masing-masing tidak ada kesabaran kerana keghairahan agenda politik mendahului kepentingan rakyat dan Negeri Melaka. Yang di kendong tercicir, yang di kejar tak dapat, yang kemut kuasa secara rakus hancur dan parti-parti yang terlibat semua terduduk, peribadi dan parti akhir mendahului kepentingan rakyat,” katanya.

Pada Isnin lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon bagi PRN Melaka adalah pada 8 November manakala tarikh mengundi pada 20 November depan.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, undi awal akan dilakukan pada 16 November depan. – MalaysiaGazette