Anjung Kasih, Hospital Sedang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020

SERDANG- “Beter Brighter Anjung Kasih ini kita wujudkan supaya maruah dan keselamatan waris ketika menjaga pesakit terpelihara dan mereka mendapat berehat dan ketenangan minda,” kata Pengarah Hospital Serdang, Dr. Rohana Johan.

Jelasnya, semasa merancang untuk menaik taraf Balai Pelawat kepada Anjung Kasih, pihak hospital turut memberi penekanan kepada isu-isu keselamatan.

Pengarah Hospital Sedang, Dr. Rohana Johan bercakap di Anjung Kasih, Hospital Sedang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020

Antaranya keperluan membuka bilik keluarga yang mana membolehkan waris yang terpaksa membawa anak kecil semasa menjaga pesakit untuk tinggal di bilik berkenaan.

“Contohnya, seorang bapa yang sedang menjaga pesakit tetapi perlu membawa anak perempuannya yang masih kecil, jadi di mana dia hendak letakkan kanak-kanak berkenaan semasa dia ke wad?

“Dia tidak boleh bawa kanak-kanak tersebut ke wad dan tidak mungkinlah dia mahu tinggalkan anak perempuannya di asrama lelaki tempatnya menginap. Pastilah keselamatan kanak-kanak tersebut tidak terjamin,” katanya semasa ditemubual oleh MalaysiaGazette baru-baru ini.

Suasana penginapan sementara untuk waris pesakit di Anjung Kasih, Hospital Sedang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020

Tambah Dr. Rohana, Balai Pelawat sebelum ini hanya mampu menampung 26 waris pada satu-satu masa berbanding Anjung Kasih yang boleh memuatkan 102 waris.

Tanpa mengenakan sebarang bayaran, kemudahan yang disediakan juga lebih selesa dan selamat antaranya bilik yang dilengkapi alat penghawa dingin sepenuhnya, ruang penyimpanan berkunci, ruang makan, televisyen, peti sejuk, mesin basuh dan mesin pengering.

“Pesakit di Hospital Serdang ini datang dari pelbagai negeri malah ada juga dari Sabah dan Sarawak.

“Anjung Kasih ini merupakan satu keperluan untuk mereka tinggal buat sementara waktu kerana kita memahami tidak semua mampu untuk tinggal di hotel-hotel dan sebagainya,” katanya.

Bagi seorang ibu kepada pesakit jantung, Nurul Fauziana Kamarudin dari Melaka, kemudahan Anjung Kasih mampu mengurangkan beban yang ditanggungnya ketika menjaga anak yang baru lepas menjalani pembedahan jantung.

Penginap, Nurul Fauziana Kamarudin bercakap di Anjung Kasih, Hospital Sedang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 17 OGOS 2020

“Memang lega apabila ada kemudahan di sini. Sudah lepas satu beban, saya tidak perlu mencari hotel kerana saya memang tidak ada tempat tinggal lagi.

“Lagi pula, jika ada apa-apa, doktor akan menghubungi saya dan saya boleh terus ke wad. Jika tinggal di luar, saya perlu mendapatkan Grab atau teksi pula,” katanya.

Kemudahan seperti Anjung Kasih Hospital Serdang itu menurut Nurul Fauziana, perlu diperluaskan ke hospital-hospital lain juga. – MalaysiaGazette