Keadaan lengang sebuah restoran makanan segera akibat tindakan rakyat Malaysia yang memboikot produk yang dikaitkan dengan Israel susulan serangan berterusan rejim Zionis itu ke atas Palestin ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 NOVEMBER 2023.

SUDAH lebih sebulan negara haram Israel telah melakukan keganasan dan jenayah perang ke atas rakyat Palestin. Jumlah kematian rakyat Palestin telah melebihi angka 11,000; satu jumlah kematian yang sangat besar dan tragis dalam sejarah dunia. Seluruh dunia termasuklah negara-negara Eropah seperti UK dan Amerika Syarikat telah menunjukkan solidariti yang kuat kepada Palestin dengan menganjurkan protes besar-besaran bagi mendesak negara-negara Barat khususnya Amerika Syarikat dan sekutunya melancarkan gencatan senjata supaya bantuan kemanusiaan segera disalurkan kepada penduduk Palestin.

Malah, strategi boikot terhadap jenama atau produk yang mempunyai kaitan dengan negara yang terlibat secara langsung dalam jenayah perang di Palestin telah tergugat teruk. Strategi boikot terhadap produk berkaitan dengan Israel bukanlah perkara baru. Menyingkap kembali sejarah lama, gerakan boikot terhadap produk Israel bermula sejak 1945 di mana satu resolusi khas telah dibentuk menerusi pertemuan tujuh negara ahli Liga Arab.

Resolusi yang bertajuk “The Boycott of Zionist Goods and Products” menyatakan bahawa sebarang produk keluaran Yahudi hendaklah dikira tidak dikehendaki dalam negara Arab dan seluruh warga Arab sama ada institusi, organisasi, usahawan, ejen dan individu mestilah menolak untuk berurusan, mengedar atau menggunakan produk keluaran Zionis.

Resolusi ini berjaya melemahkan ekonomi negara haram Israel dari sudut ekonomi pasaran dan sumber serantau yang membawa kepada tindakan Israel melakukan bantahan kepada PBB. Dan gerakan boikot ini berterusan sehingga kini mencerminkan kesepakatan pencinta keamanan khususnya umat Islam dalam menyatakan solidariti kepada penduduk Palestin dan membantah keganasan yang dilakukan oleh negara haram tersebut.

Namun, kesan ekonomi daripada gerakan boikot terhadap Israel tidak sama seperti mana pada tahun 1950-an. Hari ini, Israel mempunyai kekuatan ekonomi yang kukuh khususnya dalam sektor teknologi tinggi dan sektor pembuatan. Sebaliknya, kesan boikot ini lebih terarah kepada ekonomi negara khususnya terhadap kebajikan para pekerja francais yang diboikot seperti McDonald’s dan Starbucks.

Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar telah mengesahkan bahawa sehingga hari ini masih belum ada laporan pekerja diberhentikan kerja akibat gerakan boikot. Walau bagaimanapun, ia berpotensi membawa kepada peningkatan kadar pengangguran. Semestinya, selaku penyokong isu Palestin, kita mahu jihad kecil yang kita laksanakan dapat mencapai matlamatnya, namun bagaimana pula dengan nasib ribuan pekerja yang akan berdepan risiko diberhentikan kerja?

Kenyataan Menteri Sumber Manusia menunjukkan kerajaan masih lagi mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ terhadap kebarangkalian isu ini untuk berlaku. Kerajaan yang proaktif adalah kerajaan yang ingin bertanggungjawab dengan memberi respons danmenyelesaikannya terhadap sesuatu isu dengan lebih awal sebelum menjadi lebih parah.

Saya mencadangkan kerajaan perlu bekerjasama dan mengadakan perbincangan dengan pengusaha PKS tempatan untuk mengatasi masalah ini. Antara langkah yang boleh dipertimbangkan oleh Kerajaan bersama PKS tempatan adalah:
• Menyalurkan dana perniagaan dan menawarkan pengurangan kadar cukai yang bertujuan untuk meningkatkan kapasiti operasi perniagaan PKS tempatan sedia ada
untuk menyerap para pekerja yang berdepan risiko diberhentikan.

• Segera memperkenalkan kempen membeli barangan buatan tempatan dengan lebih berkesan. Dengan sentimen kuat menentang produk berkaitan Israel dan sekutunya, pengguna akan berbelanja membeli produk tempatan.

Langkah-langkah yang dicadangkan di atas merupakan sebahagian daripada pelbagai lagi tindakan yang boleh dilakukan oleh Kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja tempatan kita. Cadangan ini lebih kepada ‘strategic boycott approach’, di mana Kerajaan dapat melakukan tindakan boikot secara indirect, tetapi pada masa yang sama menjamin kebajikan pekerja yang terkesan dan mengelakkan kesan pengangguran terhadap ekonomi negara dengan memperkasa kegiatan ekonomi tempatan.

Haissazc S. Hisham
Kuala Lumpur

1 Komen

  1. Lebih daripada 15000 pekerja tempatan di McDonald’s Malaysia terkesan. Yang jadi mangsa adalah rakyat sendiri

Comments are closed.