Mesyuarat Kewangan Pertama AFC di Rumah AFC, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) akan memberi tumpuan untuk memberi sokongan kewangan yang mampu diberikan kepada negara serantau yang berdepan kekangan kewangan dalam membangunkan bola sepak mereka.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi penggal 2019-2023 hadir ke mesyuarat kewangan AFC pertama di AFC House, Kuala Lumpur, semalam.

Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan berkenaan dipengerusikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kewangan AFC, Mariano V. Araneta Jr.

Hamidin berkata, mesyuarat berkenaan menekankan kepada bentuk sokongan yang mampu diberikan oleh AFC kepada ahli negara serantau di Asia.

“Kami menumpukan kepada pengurusan urus tabdir khususnya pembangunan kewangan yang lebih baik dalam membentuk bola sepak Asia,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Tambah beliau antara agenda dan perkara utama yang turut dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah susunan bajet 2019 serta permohonan dan peruntukan bajet bagi 2020.

Selain itu, perkara-perkara lain yang dibincangkan ialah penstrukturan organisasi serta penilaian prestasi kewangan AFC sehingga September lalu.-MalaysiaGazette