Home Nasional Bot APMM terbakar, tiada Mangsa Terlibat

Bot APMM terbakar, tiada Mangsa Terlibat

SETIAWAN – Dua bot milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) terbakar di Jeti Kompleks Perikanan Kampung Acheh di sini, awal pagi tadi.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan Tajul Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 1.45 pagi sebelum lima anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, sebuah bot sedang terbakar sehingga 90 peratus, manakala sebuah lagi hanya lima peratus kesan daripada terkena bahang bot tersebut.

“Bagaimanapun, semasa kejadian bot berkenaan kosong dan tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden itu,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tajul berkata pihaknya mengambil masa hampir 15 minit untuk mengawal api dan operasi tamat sepenuhnya kira-kira 3.28 pagi. – MalaysiaGazette