Briged Al-Qassam

GAZA – Briged Al-Qassam mendakwa mereka membunuh 40 askar Israel dan memusnahkan 44 kenderaan tentera dalam semua medan pertempuran di Semenanjung Gaza dalam tempoh 48 jam yang lalu.

Sayap bersenjata kumpulan Hamas itu menambah, pertempuran itu turut mencederakan berpuluh-puluh tentera Zionis.

Kenyataan itu melaporkan penggunaan perangkap samar untuk memusnahkan bangunan, menyasarkan pusat arahan medan Israel, dan menggunakan peluru mortar dan roket jarak dekat di kawasan tentera berkumpul.

Israel masih belum mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan tersebut.

Sebaliknya, Israel meneruskan serangan ketenteraannya di Semenanjung Gaza sejak 1 Disember selepas berakhirnya gencatan kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas.

Hampir 18,000 rakyat Palestin telah terbunuh dan lebih 49,229 yang lain cedera dalam serangan udara dan darat yang tidak henti-henti ke atas enklaf itu sejak 7 Oktober lalu berikutan serangan rentas sempadan oleh Hamas. – Agensi