Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Cadangan pembubaran Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan mewujudkan persepsi seolah-olah kerajaan dan Kementerian Kewangan yang hari ini didominasi DAP sedang merobek satu persatu institusi yang terbukti banyak membantu Melayu dan Bumiputera keluar dari belenggu kemiskinan dan berjaya menaikkkan taraf ekonomi.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak wajar membubarkan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang terbukti telah berjaya mengeluarkan ratusan ribu rakyat dari belenggu kemiskinan sejak mula ditubuhkan pada 1987.

AIM adalah model Grameen Bank Bangladesh yang menggunakan konsep pembiayaan mikro.

Katanya, AIM juga pernah dianugerahkan Nobel Laureate kerana berjaya membantu pembiayaan golongan miskin hingga peratusan yang keluar dari belenggu kemiskinan hampir 90 peratus.

“Model AIM juga berjaya kerana bukan sekadar membantu golongan usahawan miskin di kalangan Sahabat AIM dengan memberi ikan, tetapi lebih bermakna kerana menyedia dan mengajar anggota Sahabat AIM menggunakan joran untuk menangkap ikan.

“Persoalannya, kenapa selepas 30 tahun, baru sekarang hendak dipersoalkan isu perlanggaran Akta? Takkanlah semua inisiatif kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu hendak dihentikan walau ternyata banyak memberi manfaat pada rakyat?” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohamed Hanipa Maidin berhubung kerajaan PH sekarang ini sedang menyediakan dokumen untuk memulakan prosedur membatalkan sijil AIM dalam sidang Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette