Halaman kediaman Norasiah Idris yang dijadikan tempat parkir kenderaan pengundi.

BENTONG – Pelbagai cara untuk mezahirkan sokongan kepada sistem demokrasi negara sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undagan Negeri (DUN) Pelangai.

Meskipun pulang ke kampung halaman bukan sebagai pengundi, tetapi Norasiah Idris, 53, tetap mahu menyumbang kepada proses pilihan raya yang sedang dijalankan.

Norasiah berkata, dia membenarkan  tanah halaman rumahnya yang luas untuk dijadikan tempat  meletakkan kenderaan ke Pusat Mengundi SK Pelangai.

Norasiah Idris

”Ini rumah singgah, saya duduk Kedah dan rumah baru siap selepas raya haji. Jadi balik musim ini boleh jumpa kenalan rapat dan tengok suasana.

”Hari ini mak cik buka pagar seawal 7.30 pagi lagi bagi memudahkan pengundi parkir kereta di sini, bolehlah bantu muat 10 buah kereta di sini.

”Biasalah waktu mengundi ini jalan sesak, susah nak parkir, jadi makcik rasa apa salahnya kita buka pagar bagi orang parkir,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Hari ini sebanyak sembilan pusat mengundi dan 30 saluran disediakan bagi PRK Pelangai yang dibuka bermula jam 8 pagi hingga 6 petang. – MalaysiaGazette