Mohamaddin Ketapi

KUALA LUMPUR – Pemimpin Warisan, Datuk Mohammaddin Ketapi akan dipanggil untuk dirakam keterangan dalam masa terdekat berhubung kenyataannya yang kontroversi baru-baru ini.

Timbalan Pengarah Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridahlathrash Wahid berkata, Bukit Aman sedang menyiasat bekas menteri itu serta kenyataannya yang menerima pelbagai kritikan dan reaksi masyarakat umum.

“Setakat ini polis menerima 35 laporan polis di seluruh negara ke atas Mohammaddin Ketapi mendesak tindakan tegas.

Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman D5 membuka kertas siasatan dan sedang mengendalikan siasatan kes ini.

“Kita belum menentukan berapa orang yang akan dipanggil tetapi Mohamaddin dan mana-mana yang dirasakan perlu dalam kes ini akan dipanggil dalam masa terdekat nanti untuk diambil keterangan,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mior Faridahlathrash, kesemua laporan polis itu diterima di seluruh negara termasuk di Sabah sejak semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Mohamaddin dalam satu ceramah kempen Pilihan Raya Negeri Sabah di Kampung Warisan didakwa menyifatkan tragedi di Kampung Tanduo, Lahad Datu yang mengorbankan 10 anggota polis dan tentera pada 2013 hanya sandiwara negara selain peperangan bersama ‘ayam’ dan ‘anjing’.

Satu klip video ucapan Mohammaddin tular di media sosial sejak Ahad sehingga menerima kecaman pelbagai pihak termasuk Angkatan Tentera Malaysia sehingga puluhan laporan polis menyusul mendesak tindakan berat ke atas pemimpin biadap dan tidak menghormati anggota keselamatan negara.

Ada juga pihak mendesak para pengundi Sabah menolak Mohammaddin srta calon-calon Warisan pada PRN kali ini.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.