MARA sudah membuka permohonan kemasukan bagi Tingkatan 1 dan 4 2024

KUALA LUMPUR – 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang terlibat dalam kes buli seorang pelajar di insititusi pendidikan itu ditamatkan pengajian berkuatkuasa hari ini.

Tindakan itu diputuskan Jawatankuasa Disiplin Maktab.

Menurut Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf, mesyuarat JDM telah mengkaji kes tersebut dengan teliti dan mengambil keputusan menamatkan pengajian pelajar terbabit.

“Pihak MARA mengambil serius kejadian buli yang berlaku minggu lalu itu dan hukuman yang telah diputuskan ini menunjukkan pihak kita tegas dan tidak berkompromi terhadap kesalahan buli dalam kalangan pelajar di bawah mana-mana Institusi Pendidikan MARA, Institut Pendidikan MARA (IPMA) mahupun tajaan MARA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, ibu bapa pelajar terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa berkenaan.

Menurutnya, keputusan penamatan pengajian itu dibuat berdasarkan garis panduan yang telah dinyatakan dalam Panduan Pengurusan Disiplin Pelajar MRSM.

Artikel berkaitan:

Beliau berharap, keputusan itu bukan sahaja menjadi satu pengajaran kepada pelajar yang terlibat, tetapi juga kepada pelajar-pelajar lain agar tidak berlaku lagi perbuatan salah laku di mana-mana institusi pendidikan di bawah MARA.

“Kita di MARA tentunya hendak melahirkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu pengetahuan tetapi juga mempunyai sahsiah diri dan tingkah laku peribadi yang baik dan diterima oleh masyarakat,” katanya

Beliau berkata, MARA komited dalam menangani kes-kes buli dengan memperketatkan prosedur operasi standard melalui penguatkuasaan peraturan sekolah.

Katanya, pemantauan secara berterusan juga dilaksanakan terhadap segala aktiviti pelajar termasuk proses pembelajaran di dalam kelas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang. – MalaysiaGazette