Noorazrizal menunjukkan suis rumahnya berkarat akibat dimasuki air sekali gus mereka berdepan risko terkena kejutan elektrik.

GEORGE TOWN – “Sudah hampir lima tahun kami tiga beranak tidur di rumah tamu memandangkan semua suis dalam bilik rosak akibat kebocoran air dari atas bumbung apartmen ini,” kata penghuni tingkat 31 Centrio Avenue di Taman Bukit Gambir di sini.

Noorazrizal Ahmad Zaidi, 35, berkata, masalah waterproofing (lapisan anti bocor) dari bahagian bumbung menghantui penghuni tingkat 31 apartmen itu sejak tahun 2015 namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dilakukan.

Jelasnya, mereka tiga beranak bukan saja menjalani kehidupan penuh di ruang tamu malah berdepan risiko terkena kejutan elektrik susulan saluran elektrik ketiga-tiga bilik dimasuki air.

“Rumah mampu milik ini siap pada tahun 2015 dan kami sekeluarga mula diaminya setahun kemudian. Keadaan dinding rumah melembung serta kekuningan ketika kami masuk sebelum saya minta pihak pengurusan apartmen membaiki waterproofing bumbung yang menjadi punca kebocoran itu.

Keadaan siling rumah Noorazrizal.

“Dua tahun kemudian mereka (pengurusan) lantik kontraktor untuk baikinya selepas mendapat dana daripada pihak kerajaan negeri tetapi dua hari kemudian masalah sama timbul.

“Kali terakhir kontraktor datang berjumpa dengan penghuni Mac lalu dengan alasan tiada stok alat baiki masalah tersebut tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat sekali gus menyebakan kami tanggung kerugian barang dalam rumah semua rosak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

MalaysiaGazette difahamkan sebanyak 14 unit kediaman di pangsapuri itu yang melibatkan 50 orang penghuni sedang berdepan dengan masalah tersebut.

Sementara itu, seorang lagi penghuni, G. Sree Kalyana Muruga, 49, berkata, dia buntu memikirkan rumah mampu milik yang dibelinya kerana berdepan risiko kehilangan nyawa.

Sree Kalyana Muruga menunjukkan keadaan dinding rumahnya rosak akibat malasah waterproofing di Centrio Avenue.

“Cuba bayangkan masalah ini berlaku daripada rumah ini siap dibina jadi timbul pelbagai isu di sini yang perlu kerajaan negeri serta pihak pengurusan bertanggungjawab.

“Dinding rumah semua sudah dimasuki air, adakah mereka tunggu rumah ini runtuh atau penghuni kehilangan nyawa baru nak bertindak?,” soalnya.

Turut meluahkan rasa sama, Abdul Rasheed Mohamed Ali, 53, berkata, dia baru beberapa bulan mendiami rumah tersebut dikejutkan dengan keadaan siling rumah menggelembung.

Abdul Rasheed.

Jelasnya, setiap kali hujan mereka lima beranak tidak boleh tidur berikutan bimbang rumah dimasuki air atau berlaku kejutan elektrik seperti dialami jiran lain.

“Bila saya tanya jiran tetangga semua bagi tau mengalami masalah yang sama dan keadaan rumah mereka lebih teruk.

“Rumah mampu milik ini saja kami ada untuk berteduh tapi kalau ia mengancam keselamatan  mana kami nak pergi?

“Kami harap kerajaan negeri bantu selesaikan isu ini agar kehidupan kami tidak dibelenggu isu beli rumah mampu milik tetapi ancam keselamatan,” katanya.

MalaysiaGazette difahamkan, penghuni tingkat 31 apartmen tersebut akan menyerahkan memorandum berhubung isu terbabit kepada kerajaan negeri pada Selasa ini. – MalaysiaGazette