Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam (dua kiri) bercakap pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto MIC di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2018.

KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Cameron Highlands yang bukan sahaja kubu kuat MIC selama ini malah kerusi tradisi itu akan tetap ditandingi oleh parti itu pada PRU-14.

Menurut Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam, kerusi itu adalah hak milik MIC dan ia akan ditandingi oleh calon dari parti itu sahaja bagi mewakili Barisan Nasional (BN).

Jelasnya, MIC tidak pernah bertelagah dengan mana-mana parti dalam BN kerana yakin itu adalah kerusi tradisi parti itu untuk sekian lama.

“Isu C. Highlands bukan ditimbulkan oleh MIC dan kita tidak pernah bertelagah dengan sesiapa pun. Itu kerusi MIC dan kita akan bertanding di kerusi itu pada PRU-14 nanti. Tidak ada sebarang pertukaran.

“Isu sabotaj juga tidak menjadi masalah kepada kita kerana kita akan berdepan dengan apa jua cabaran. Sabotaj adalah perkara biasa yang sering terjadi ketika musim pilihan raya dan calon kita bersedia.

“MIC tidak akan sesekali gentar atau teragak-agak dengan perkara remeh seperti ini. Kita sangat yakin dengan pengundi serta penyokong kita. Walau apa pun, sokongan yang kini di terima oleh kita sangat memberangsangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran Manifesto MIC sempena PRU-14 di sini hari ini.

Presiden MIC, Datuk Seri S.Subramaniam (tengah) bersama kepimpinan tertinggi MIC serta para jentera melaungkan ‘Hidup BN’ pada Majlis Pelancaran Manifesto MIC di Ibu Pejabat MIC, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 APRIL 2018.

Manifesto berkenaan menggariskan empat tonggak utama termasuk aspek pendidikan, pembangunan, sosial, pembangunan ekonomi dan pembangunan masyarakat yang juga diadakan pada julung kali.

Dalam pada itu, Subramaniam turut mendakwa ketika ini sokongan terhadap parti tertua masyarakat India itu telah meningkat sehingga 65 peratus berbanding sebelum ini hanya 35 hingga 50 peratus sejak PRU-12 dan PRU-13.

“Sokongan ini meningkat kerana pelbagai inisiatif serta program pembangunan yang tidak henti-henti dilaksanakan oleh kerajaan BN melalui MIC sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Masyarakat India kini semakin celik dan sedar siapa yang banyak berjasa kepada komuniti itu dan siapa pula hanya banyak bunyi dan membangkang setiap inisiatif yang membawa kebaikan kepada kita.

“MIC yakin kali ini untuk merampas kembali beberapa kerusi penting, ini termasuk di Pulau Pinang. Kita yakin dengan kerajaan BN, parti dan juga keupayaan calon itu sendiri,” tegasnya.- MalaysiaGazette