Balakong
Calon MCA N.27 Balakong, Tan Chee Teong sambil diiringi Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berarak bersama penyokong MCA ketika hadir untuk menghantar borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.27 Balakong di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah Tanah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 18 OGOS 2018

BANGI – Proses penamaan calon bagi kerusi N27 Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dibuka pukl 9 pagi tadi.

Proses tersebut dijangka berlangsung selama sejam.

Kedua-dua calon DUN Balakong tiba di pusat penamaan di Dewan Utama Demesne, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat sebelum jam 9 pagi.

Calon MCA, Tan Chee Teong hadir pada pukul 8.50 pagi bersama isterinya diiringi Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ketua Pemuda MCA Datuk Choong Sin Woon.

Mereka turut diiringi lebih kurang 200 penyokong parti yang membawa bendera logo MCA dan Jalur Gemilang.

Calon DAP, Wong Siew Ki pula hadir sekitar pukul 8.55 pagi bersama Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan Loke Siew Fook serta penyokong-penyokong parti sambil diiringi lebih 300 penyokong yang membawa bendera Pakatan Harapan.

Kerusi Balakong kosong susulan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee pada 20 Julai lalu dalam kemalangan jalan raya.

Hari pengundian bagi kerusi DUN Balakong akan diadakan pada 8 September manakala pengundian awal pada 4 September. – MalaysiaGazette