Pemandu bas Rapid KL, Mohd Nazar Ibrahim, 35, membawa penumpang setelah diberikan pengecualian dari Perintah Kawalan Pergerakan pada hari kelapan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di sekitar Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 25 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Pemandu bas) (Pindaan) 2021.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, menerusi penguatkuasaan itu semua pemandu bas yang bekerja sendiri di seluruh negara diwajibkan untuk mendaftar dan mencarum dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

Menurutnya, pemandu bas boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali sekiranya gagal berbuat demikian.

“Selaku Menteri bertanggungjawab, saya ingin menyeru semua pemandu bas serta orang bekerja sendiri yang layak agar segera mendaftar dan mencarum bagi memastikan anda mendapat perlindungan di bawah SKSPS,” katanya menerusi kenyataan.

Sehingga 24 Februari lalu, seramai 81,331 pencarum aktif direkodkan berdaftar dan mencarum di bawah SKSPS Perkeso dan ini termasuk 1,346 pemandu bas.

Sehingga kini, sebanyak RM2.35 juta faedah SKSPS telah dibayar kepada orang bekerja sendiri termasuk orang tanggungan mereka apabila pencarum mengalami kemalangan atau meninggal dunia akibat bencana pekerjaan.

Mulai 1 Jun 2017, Perkeso telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) yang memberi perlindungan kepada individu yang menjalankan pekerjaan sendiri.-MalaysiaGazette