Cat dan Shikin diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di sebuah premis acara di Setapak, dengan mas kahwin RM200.

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon, Cat Farish sah bergelar suami kepada pasangannya, Shikin Maembong dengan sekali lafaz malam tadi.

Cat atau nama sebenarnya, Farish Ramli, 49, dan Shikin atau Siti Nur ‘Ashikin Ismail, 40, diijabkabulkan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di Asiana Grand Hall, Setapak, di sini, dengan mas kahwin RM200.

Majlis akad nikah disempurnakan jurunikah, Ustaz Mohd Shukri Shafie dari Masjid Ibn Abbas, Taman Ibu Kota, di sini dan diwalikan bapa Shikin, Ismail Embong.

Pihak pengantin perempuan menghantar lima dulang hantaran dan berbalas tiga dulang daripada pihak pengantin lelaki.

Sebelum ini, Cat pernah berkahwin dengan Suriani Hassan, 37, pada November 2020 namun bercerai pada Januari lalu. Mereka tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Shikin pula pernah mendirikan rumah tangga dengan Chef Riz yang juga anak kepada Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan pada 5 Disember 2014 sebelum bercerai pada Jun 2016.

Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Putri Arianna.

Shikin kemudian berkahwin buat kali kedua pada Mac 2020, namun, berpisah selepas dua tahun. – MalaysiaGazette