Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Malaysia terus menyaksikan lonjakan kes jangkitan Covid-19 tertinggi hari ini kepada 317 berbanding 287 kes semalam.

Kesemua 317 kes adalah kes penularan di dalam negara yang melibatkan 303 kes dalam kalangan warganegara dan 14 kes bukan warganegara, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Daripada 317 kes tersebut, sebanyak 37 kes merupakan pengunjung yang pulang dari Sabah sekali gus menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 September 2020 sebanyak 176 kes.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 12,088 kes dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,735 kes.

Perincian kes penularan Covid-19 dalam negara adalah seperti berikut:


Sehingga kini, terdapat 29 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana empat  kes memerlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham berkata, terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19, justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 137 kes (1.13 peratus daripada jumlah keseluruhan kes):

Kes kematian ke-137 (iaitu kes ke-10,939) merupakan lelaki warga Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai latar belakang penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia.

Mangsa mula mengalami gejala batuk, kurang selera makan, dan demam sejak 10 September 2020 dan pada 24 September mengalami sesak nafas dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Semporna dan kemudian dirujuk ke Hospital Tawau pada hari yang sama.

Pesakit itu disahkan meninggal dunia pada 2 Oktober 2020 jam 11.44 malam.

Dalam sidang medianya petang ini,  Noor Hisham berkata, trend jumlah dan pecahan kes baharu positif Covid-19 pada hari ini adalah lebih kurang sama seperti yang dilaporkan akhir-akhir ini, yang mana masih berlaku peningkatan kes di Kluster Tembok, Kedah yang mencatat sebanyak 97 kes.

Kes di Sabah pula sebanyak mencatat 155 kes dan selebihnya, 65 kes di beberapa negeri lain.

Ini termasuk 37 kes yang merupakan pengunjung pulang dari negeri Sabah yang telah dapat dikesan susulan ujian saringan yang dijalankan oleh KKM ke atas mereka.

Malahan, trend jumlah kes harian ini adalah hasil tindakan aktif dan agresif di lapangan untuk mengekang penularan Covid-19. – MalaysiaGazette