Kamarul Hisham dan Marina menawarkan diskaun 10 peratus kepada pelanggannya yang sudah mengundi pada PRU15 Sabtu ini di restoran mereka, Melantak Steambot n Grill, Klebang, Melaka sehingga Ahad ini.

MELAKA – Bagi menggalakkan pengundi keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu ini, sebuah restoran di Klebang, di sini, menawarkan potongan harga 10 peratus kepada pelanggannya selama dua hari sehingga Ahad ini.

Pemilik Melantak Steambot n Grill, Marina Md Ramli, 53, berkata, idea itu tercetus untuk menghangatkan lagi bahang PRU15 selain  atas rasa tanggungjawab mahu terlibat sama dalam proses demokrasi negara.

“Sebab itu, selepas berbincang dengan suami, kami mengambil inisiatif ini dan kebetulan pula restoran kami baharu beroperasi tiga hari lalu dan mungkin ini adalah peluang terbaik untuk pelanggan berjimat.

“Syaratnya, mereka hanya perlu menunjukkan dakwat pada jari sebagai bukti telah mengundi untuk layak mendapat diskaun 10 peratus bagi semua menu di kedai kami ini sehingga Ahad ini,” katanya ketika ditemui di restorannya di Taman Klebang Utama, Klebang.

Tambahnya, inisiatif itu tidak ditaja mana-mana parti politik, sebaliknya ditanggungnya bersama suami Kamarul Hisham Kamaruddin, 53, buat semua kaum tanpa mengira fahaman politik.

“Datanglah berulang kali pun dalam dua hari itu kami tetap bagi diskaun 10 peratus untuk setiap pelanggan yang membayar RM55 bagi setiap dewasa dan RM25 untuk setiap kanak-kanak berusia lima tahun ke atas.

“Bagi setiap warga emas atau orang kurang upaya (OKU) pula, bayarannya adalah RM44 untuk bufet pada waktu makan tengah hari bermula pukul 2 petang,” katanya.

Tambahnya bagi bufet makan malam pula, bayarannya adalah RM55, RM30 dan RM49 bagi setiap kategori itu dengan pilihan lebih 70 jenis menu steambot dan daging selain minuman sejuk percuma sehingga 12 tengah malam. – MalaysiaGazette.