Lee Chong Wei

GEORGE TOWN – Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei antara individu yang bakal menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan pada Upacara Konvokesyen ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM).

Selain itu, mantan Naib Canselor wanita pertama USM, Datuk Dr. Asma Ismail turut bakal menerima gelaran Profesor Emerita.

Naib Canselornya, Prof Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata, upacara berkenaan dijangka berlangsung di Istana Arau, Perlis pada 2 Disember diikuti sidang kedua hingga kesepuluh di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM Pulau Pinang pada 13 hingga 21 Disember depan.

Katanya, seramai 5,964 graduan akan menerima ijazah masing-masing termasuk Ijazah Tinggi (PhD dan Sarjana) iaitu seramai 1,899 individu; Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).   

“Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan bagi mempengerusikan sidang satu dengan membabitkan penganugerahan kepada lima penerima utama.

“Antara penerima lain ialah tokoh industri Dr David Lacey (Ijazah Kehormat Doktor Sains); mantan akademia USM Dr. Zhari Ismail (Prof Emeritus) dan Penuntut Terbaik Segala Lapangan, Khaw Teng Kang yang menerima Pingat Emas Canselor,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut Faisal Rafiq, sidang kedua hingga kesepuluh pula akan dipengerusikan  Pro Canselor USM iaitu Tan Sri Datuk Dr. Zulkefli A Hassan, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur dan Tan Sri Datuk Dr. M. Jegathesan.

“Upacara konvokesyen berkenaan akan dilaksanakan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dan graduan yang lengkap dua dos vaksin sahaja dibenarkan menyertai upacara konvokesyen tersebut.

“Bagi sidang dua hingga 10 di DTSB, penganugerahan ijazah akan dijalankan secara satu sesi setiap hari,” katanya. – MalaysiaGazette