Home Ekonomi CMC Engineering bakal peneraju sektor Bandar Pintar

CMC Engineering bakal peneraju sektor Bandar Pintar

KUALA LUMPUR – Kepesatan pembinaan perbandaran, kemunculan bandar-bandar besar, peralihan demografi serta perubahan iklim dan kekurangan sumber secara mendadak telah mengubah peranan bandar-bandar di seluruh dunia.

Bandar-bandar utama di seluruh dunia sedang mengurangkan isu-isu ini dengan mengguna pakai penyelesaian berskala yang mengambil kesempatan daripada teknologi maklumat dan komunikasi bagi meningkatkan kecekapan, mengurangkan kos dan meningkatkan kualiti hidup.

Bandar-bandar yang mengambil pendekatan ini biasanya dirujuk sebagai Bandar Pintar.

Berdasarkan unjuran oleh Frost & Sullivan, Bandar Pintar di seluruh dunia akan mewujudkan peluang perniagaan sebanyak AS$1.5 trilion menjelang tahun 2020.

Memanfaatkan kecekapan sedia ada CMC Engineering Sdn. Bhd. (CMC) dalam telekomunikasi, syarikat ini bersedia untuk menjadi syarikat Bumiputera yang terkemuka dalam bidang Bandar Pintar.

Ketua Pegawai Eksekutif CMC, Hazwan Alif Abdul Rahman berkata, untuk mencapai objektif ini, CMC telah melaksanakan perjanjian bersama Navia Network Sdn. Bhd. (Navia Network) untuk membangunkan penyelesaian Bandar Pintar.

Navia Network adalah sebuah syarikat Bumiputera dengan status Koridor Multimedia dan pemegang Lesen Penyedia Kemudahan Rangkaian.

Hazwan berkata, perjanjian itu merangkumi integrasi liputan dalam bangunan dan teknologi sensing pintar untuk penyelesaian bangunan pintar; integrasi kemudahan rangkaian telekomunikasi dengan clouds pintar yang akan menjadi tulang belakang Bandar Pintar yang menghubungkan segala perkara termasuk manusia kepada manusia, manusia kepada mesin dan sambungan mesin kepada mesin.

Selain itu aplikasi perisian majlis-majlis tempatan untuk memantau utiliti aset yang akan menggabungkan Analisis Data Besar dan teknologi Internet.

Menurut beliau, penyelesaian-penyelesaian itu melengkapi penyelesaian Industri 4.0 CMC termasuk Smart OCC, Perisian Pengurusan Tenaga dan Analisis Data Besar yang kini menumpukan kepada kereta api, juga merupakan menjadi komponen utama Bandar Pintar.

Dengan kombinasi penyelesaian baharu dan sedia ada, CMC berupaya menyediakan sistem penyelesaian lengkap bagi industri pengangkutan awam.

Katanya, menyedari bahawa CMC akan perlu bersaing dengan syarikat multinasional lain, syarikat tersebut komited untuk meningkatkan pelaburannya dalam pembangunan modal insan.

“Sebelum ini CMC bersama Yayasan Peneraju melatih 25 jurutera landasan kereta api.

“Sekarang, CMC bekerjasama dengan Kementerian Tinggi Pendidikan dan Technology Depository Agency Berhad di bawah Kementerian Kewangan untuk mewujudkan silibus pendidikan tinggi bagi sistem komunikasi landasan kereta api, yang dijangka menjadi sebahagian Pusat Kecemerlangan Rel.

Di samping itu, selaras dengan aspirasi Pelan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera 2.0, CMC komited untuk mewujudkan usahawan Bumiputera baharu yang progresif, kreatif, inovatif dan bersedia untuk bersaing.

Oleh itu, sebagai sebahagian daripada pelaburan CMC ke dalam Navia – Navia akan mempunyai Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk mewujudkan usahawan Bumiputera baharu di Johor.

Mereka ini akan menjalani pelbagai program bagi memastikan kebersediaan untuk menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi kepada para pelanggan.

Pada masa sama, Hazwan menambah CMC akan meneruskan Program Pembangunan Vendor yang mana CMC mengamalkan pendekatan ‘tempahan’ dan memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat Malaysia dan milik Bumiputera yang berkelayakan.

Katanya, CMC memainkan peranannya dalam memastikan kualiti penyampaian memenuhi atau melebihi standard yang diperlukan melalui kawalan kualiti projek dan jaminan kualiti.

Akhirnya, program ini akan meningkatkan daya saing mereka dan meningkatkan peluang mereka untuk terlibat dalam projek-projek lain.

“Program ini telah berjaya dilaksanakan dalam projek LRT2 CMC, yang mana sekurang-kurangnya 15 peratus telah diperuntukkan untuk syarikat Bumiputera tidak termasuk jumlah pekerja Bumiputera.

“Dengan memanfaatkan teknologi dan pada masa yang sama memberi tumpuan kepada memperkasakan modal insan Bumiputera, meningkatkan daya saing Bumiputera, memberi kuasa mobiliti sosial untuk Bumiputera.

“CMC berharap ia boleh menjadi kuasa utama dalam mewujudkan ekonomi yang inklusif,” kata Hazwan. – MalaysiaGazette