Seorang bekas kerani firma guaman didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 138 pertuduhan membabitkan pecah amanah lebih RM100,000 sejak 2012 hingga 2015.
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Mac untuk membuat keputusan bagi permohonan ikat jamin dua remaja lelaki yang menghadapi pertuduhan membunuh Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan pada Jun tahun lepas.

Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman berkata beliau perlu meneliti afidavit baharu yang difailkan bagi kes itu.

“Mahkamah memerlukan masa untuk meneliti afidavit bagi permohonan ikat jamin ini kerana ini merupakan kes penting,” kata beliau.

Kedua-dua remaja itu, masing-masing berumur 14 dan 17 tahun yang dituduh bersama balu Nazrin, Samirah Muzaffar, 44, bekas eksekutif kanan di Property Corporation of Malaysia (MyIPO) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu di Mahkamah Tinggi pada 12 Mac.

Samirah, kedjua-dua remaja terbabit dan seorang warga Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang masih bebas, dituduh membunuh Nazrin, 47, di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara 11.30 malam pada 13 Jun, 2018, dan 4 pagi pada 14 Jun, 2018.

Pertuduhan itu, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama, memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili kedua-dua remaja itu berhujah bahawa permohonan ikat jamin harus dibenarkan kepada anak guamnya dengan mengambil kira umur mereka ketika kesalahan itu dikatakan dilakukan pada 13 jun lepas.

Beliau berkata mahkamah juga harus mengambil kira prestasi anak guamnya yang mencapai kecemerlangan dalam pengajian dan aktiviti kokurikulum.

Mengulas lanjut, Hisyam juga berkata tidak ada asas bagi pihak pendakwaan untuk mendakwa bahawa terdapat kebarangkalian tinggi kedua-dua remaja terbabit mengganggu saksi-saksi.

“Ia cuma spekulasi semata-mata,” katanya.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Datuk Jamil Aripin berkata mahkamah tidak seharusnya membenarkan ikat jaminan bagi kedua-dua remaja kerana pembunuhan adalah kesalahan yang tidak boleh diikat jamin.

Beliau juga berkata dakwaan bahawa salah seorang daripada remaja lelaki itu mengalami serangan seksual dan fizikal adalah tidak berasas.

Jamil berkata ini kerana kandungan laporan polis oleh bapa remaja itu dan afidavit bercanggah antara satu sama lain berhubung dakwaan mengenai insiden tersebut.

Turut hadir pada perbicaraan hari ini ialah aktivis sosial dan penganalisis politik Dr Chandra Muzaffar yang berkerusi roda.

Pada 1 Okt, 2018, Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan permohonan pihak polis untuk menggali semula kubur jenazah Nazrin bagi melakukan bedah siasat kali kedua untuk membantu siasatan polis mengenai kematiannya.

Pada 3 Ogos tahun lepas, kematian Nazrin diklasifikasi semula sebagai pembunuhan selepas siasatan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat menemukan kesan petrol di lokasi kebakaran.

Nazrin mulanya dilaporkan maut dalam kebakaran yang disebabkan letupan telefon bimbitnya.

Laporan autopsi kedua menyatakan bahawa Nazrin mati akibat kecederaan di kepala dan bukannya disebabkan letupan telefon bimbit.

— BERNAMA