Mior Mahamad Rizuan Mior Ahmad, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai dan tiga telefon bimbit milik pekerja tapak bina akhir bulan lalu.

MELAKA – Padah mencuri duit dan tiga telefon bimbit milik pekerja tapak pembinaan, seorang penganggur didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah melakukan kesalahan itu, akhir bulan lalu.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mior Mahamad Rizuan Mior Ahmad, 40, yang membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didapati ada dalam milikannya tiga telefon bimbit curi jenama Oppo, Vivo dan Huawei milik pekerja kontrak pembinaan warga asing bernama Atazul membabitkan kerugian RM2,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Tapak Pembinaan Rumah Lot PT, Mukim Lintang, di sini kira-kira pukul 7.30 pagi 25 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara antara enam hingga lima tahun dan denda mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, pengadu iaitu Atazul dan rakan sekerjanya ketika itu sedang tidur di sebuah rumah di tapak pembinaan sebelum terjaga apabila terdengar bunyi bising kira-kira pukul 3 pagi.

Pengadu kemudian ternampak seorang lelaki tidak dikenali masuk ke rumah itu dan mengambil beberapa barang peribadi milik mereka iaitu tiga telefon bimbit selain wang tunai RM1,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh namun tertuduh dalam rayuannya memohon hukuman ringan dengan alasan perlu menjaga ibu yang sakit selain sudah insaf.

Setelah mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh didenda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal berbuat demikian. – MalaysiaGazette.