Cheng San (dua dari kanan) menunjukkan barang yang dirampas daripada suspek curi motosikal pada sidang media di IPD Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Naik keretapi dari Perlis untuk curi motosikal jenis Honda Wave Alpha di Pulau Pinang serta Kedah sebelum dijual di negara jiran dengan harga RM1,000 sahaja.

Itu modus operasi dua lelaki tempatan sejak Mei lalu yang berjaya dibongkar sepasukan polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD SPT, Deputi Superintendan Raja Munawir Shah Raja Harun selepas menahan mereka dalam dua serbuan berasingan di Butterworth di sini dan Padang Besar, Perlis minggu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah , Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, tangkapan ke atas suspek berusia 40 dan 46 tahun itu berjaya menyelesaikan sebanyak 87 kes kecurian motosikal jenis Honda Wave Alpha di Pulau Pinang dan Kedah.

Cheng San menunjukkan gambar suspek yang ditahan susulan terlibat dalam kes curi motosikal.

Jelas Cheng San, suspek ditahan selepas pihaknya telah menerima 10 laporan kehilangan motosikal jenis yang sama di stesen kereta api Bukit Mertajam dan Bukit Tengah.

“Susulan tangkapan itu, kita merampas dua buah motosikal Honda Wave Alpha bersama peralatan mencuri dan beberapa dokumen yang digunakan untuk merentasi sempadan negara.

“Siasatan lanjut mendapati suspek mencuri motosikal terbabit untuk dijual ke negara jiran pada harga RM1,000 sebuah kerana mendapat permintaan tinggi.

“Suspek akan hantar sendiri motosikal-motosikal curi ke negara jiran menggunakan satu nombor plat yang didaftarkan atas satu motosikal melalui jalan sah darat,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Peralatan yang digunakan untuk mencuri motosikal turut dirampas.

Mengulas mengenai modus operandi, Cheng San berkata, suspek akan menaiki keretapi dari Perlis dan menjadikan lokasi seperti stesen kereta api, pasar dan hospital di dua negeri itu sebagai sasaran untuk mencuri motosikal jenis Honda Wave Alpha.

“Secara keseluruhan RM350,000 nilai motosikal yang dicuri suspek iaitu membabitkan 30 kes di sekitar negeri ini dan 57 kes di Kedah,” ujarnya.

Kedua-dua suspek direman seminggu sehingga 4 Disember ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette