Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari bercakap kepada media selepas membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berhubung fitnah serta dakwaan ke atas presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 17 MAC 2023.

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyemak semula kertas siasatan mengenai pertuduhan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan kes rasuah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dibebaskan Mahkamah Rayuan kerana sumbangan politik, dua tahun lalu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, SPRM sepatutnya mengambil contoh daripada keputusan itu yang membuktikan sumbangan politik adalah sah di sisi undang-undang.

“Mahkamah Rayuan telah menolak kes Tengku Adnan di mana beliau dituduh menerima rasuah politik dan Mahkamah Rayuan pula mengatakan sumbangan politik adalah sah.

“Sama yang berlaku kepada Tan Sri Muhyiddin, sebab itu kita buat laporan polis ini, kena ada keputusan yang padat terhadap perkara-perkara melibatkan sumbangan politik,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau dan 22 Ketua Bahagian Bersatu di Selangor membuat laporan polis secara serentak terhadap Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berkenaan fitnah rasuah serta penggubahan wang haram ke atas Muhyiddin.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Tengku Adnan selaku bekas Menteri Wilayah Persekutuan daripada tuduhan rasuah, sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta, pada 16 Julai 2021.

Hakim Datuk Suraya Othman dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersetuju bahawa keputusan yang dibuat berdasarkan keterangan Tan Sri Chai Kin Kong sebelum ini dan keterangan pegawai siasatan SPRM, Saad Bordani mengesahkan sumbangan wang sumbangan tersebut adalah sumbangan politik.

Datuk Suraya ketika membacakan keputusan itu berkata, keputusan yang dibuat oleh hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini telah terkhilaf iaitu tidak memiliki arah jelas dan tersalah arah.

Tengku Adnan didakwa dalam kapasitinya sebagai seorang penjawat awam iaitu Menteri Wilayah Persekutuan telah menerima untuk dirinya sebanyak RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek yang didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan, diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Kesalahan itu didakwa dibuat di CIMB Pusat Bandar Damansara pada 14 Jun 2016.

Dalam pada itu, Abdul Rashid juga meminta SPRM membuat siasatan dan berlaku adil kepada semua pemimpin politik dan tidak membuat siasatan terpilih khususnya Bersatu dan Muhyiddin sahaja.

“Masalahnya sekarang yang kena kepada Tan Sri Muhyiddin sahaja, hanya Pengerusi PN yang juga Presiden Bersatu sahaja disiasat.

“SPRM patut berlaku adil kepada semua parti lain, sebab apa yang berlaku dalam Bersatu (sumbangan politik) juga berlaku kepada parti-parti lain, benda sama,” tegasnya.

Beliau tidak menolak kemungkinan siasatan dan pertuduhan yang dikenakan terhadap Muhyiddin sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) semata-mata untuk mencemarkan imej bekas Perdana Menteri itu dan PN.

“Sepatutnya siasatan kepada presiden parti lain juga dilakukan sebelum PRN. Apa yang berlaku sekarang susulan tuduhan-tuduhan ini, imej Tan Sri Muhyiddin imej tercemar dan juga PN,” katanya.

Katanya lagi, beliau tidak merasakan pendakwaan politik pemimpin Bersatu boleh memberi kesan kepada PN untuk memenangi PRN pada Jun ini.

“Tidak (kesan negatif), saya membuat laporan ini kerana kita nak beritahu seluruh rakyat Selangor bahawa Bersatu diperlakukan dengan satu konspirasi jelas nak jatuhkan Tan Sri Muhyiddin dan memburukkan parti kita.

“Kita sebagai negara demokrasi, kalau kita rasa kalau tak betul, kita kena bangkit,” katanya lagi. – MalaysiaGazette