KUALA LUMPUR – Danajamin Nasional Berhad (Danajamin) akan menjadi anak syarikat milik penuh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (Bank Pembangunan).

Ia merupakan hasil penstrukturan institusi Fasa 1 bagi Institusi Pembangunan Kewangan (DFI)) yang mendapat pengesahan daripada Jawatankuasa Pemandu yang dipengerusikan Kementerian Kewangan.

Bank Negara Malaysia (BNM) telah memberi kebenaran kepada Bank Pembangunan dan Danajamin untuk memulakan rundingan fasa pertama cadangan untuk menggabungkan DFI negara ini pada Disember tahun lalu.

Cadangan itu bertujuan untuk mengukuhkan ekosistem DFI.

Bank Pembangunan berkata, pihaknya kini sedang menjalankan proses ketekunan wajar yang diperlukan dengan sasaran tarikh efektif operasi untuk Fasa 1 diselesaikan menjelang suku keempat 2020 yang tertakluk kepada pemegang saham dan kelulusan pengawal selia.

Menurutnya, BPMB dan Danajamin mengkaji semula perniagaan dan strategi mereka untuk mengembangkan skop perniagaan dalam menyediakan pelbagai produk dan perkhidmatan serta cadangan nilai yang lebih besar kepada pelanggan. – MalaysiaGazette