Hanifah (dua dari kiri) menyerahkan Sijil Usahasama kepada Pengerusi Kumpulan Meta Doers, Prof. Willson Lin disaksikan Pengarah Datasonic Technologies Sdn Bhd, Md Diah Ramli (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi Meta Doers, Michelle Yong selepas upacara MoU.

KUALA LUMPUR – Datasonic Group Berhad (Datasonic), salah satu pembekal solusi teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) terkemuka di Malaysia telah menyertai perjanjian usahasama (MoU) dengan Meta Doers World Holding Berhad (Meta Doers).

MoU itu untuk membentuk kerjasama strategik menerusi penubuhan syarikat usaha sama bagi meneroka peluang besar perniagaan berkaitan dengan Metaverse, yang menyasarkan ke arah industri pendidikan dan kesihatan.

Pengerusi Eksekutif Datasonic, Datuk Abu Hanifah Noordin berkata, Malaysia hari ini merupakan sebahagian daripada dunia yang dihubungkan secara digital.

Katanya, dengan pembelajaran secara atas talian semakin popular terutama selepas pandemik, sektor pendidikan sedang meneroka cara untuk mengintegrasikan teknologi imersif bagi mentransformasi persekitaran pendidikan ke arah lebih interaktif, kreatif dan menghiburkan.

“Justeru, kerjasama antara Datasonic dan Meta Doers menandakan langkah pertama Datasonic ke arah dunia Metaverse dengan fokus ke arah industri pendidikan dan kesihatan.

“Peringkat awal ini, sasaran pasaran kami adalah sekolah rendah, menengah, pendidikan tinggi dan agensi latihan di Malaysia serta negara Asia Tenggara.

“Datasonic memilik rekod prestasi cemerlang dalam pelbagai projek misi kritikal peringkat nasional dan kami juga telah menghasilkan salah satu passport antarabangsa terbaik di dunia,” katanya dalam majlis MoU di sini, semalam.

Meta Doers adalah sebahagian daripada Doers Education Group iaitu pakar dalam bidang pendidikan secara atas atau luar talian, konsultan bagi projek Metaverse dan khidmat nasihat yang memfokus ke atas enam sektor perniagaan utama – pendidikan, kesihatan, makanan, hiburan, tenaga dan industri perlindungan.

Doers Education Group pula merupakan salah satu perintis dalam industri pendidikan dan latihan dengan rekod prestasi cemerlang selama lebih 24 tahun di China, Hong Kong, Macau, Taiwan, Malaysia, Singapore, Thailand, Brunei, Indonesia, Filipina dan Kanada.

Kata Abu Hanifah, laporan daripada McKinsey & Company menyatakan, pelaburan dalam Metaverse di peringkat global telah meningkat daripada USD57 bilion pada tahun 2021 kepada USD120 bilion sehingga Jun 2022.

Jumlah itu, jelasnya, dijangka terus meningkat dan pihaknya melihat potensi tinggi dalam platform aplikasi Metaverse di pelbagai industri terutama dalam industri pendidikan dan kesihatan di Malaysia dan negara Asia Tenggara.

“Menerusi penubuhan syarikat usahasama secara 60:40, kami akan menggunakan kepakaran dan kekuatan kompetitif kedua-dua pihak untuk membina kelas maya secara 3D yang bertaraf dunia.

“Melaluinya pelajar boleh bersemuka dan berinteraksi dengan rakan sekelas dan pengajar secara maya untuk mencapai hasil pembelajaran yang optimum,” katanya.

Beliau berkata, pengurusan baharu Datasonic memandang ke arah usahasama strategik bersama Meta Doers bagi mempelbagaikan perniagaan ke arah platform Metaverse dalam industri pendidikan dan kesihatan di Malaysia dan negara Asia Tenggara serta komited untuk menjana hasil dan keuntungan yang lebih tinggi kepada kumpulan syarikat.

Datasonic merupakan pembekal solusi berintegrasi berkaitan keselamatan dengan rekod pencapaian cemerlang dan tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad sejak 2012.

Syarikat ini  mempunyai keupayaan teknikal mampan yang disokong pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalaman yang sangat berkemampuan.

Ia merupakan pakar dalam kad pengenalan pelbagai guna nasional, e-passport yang mematuhi International Civil Aviation Organization (ICAO), auto gate dengan biometrik multimodal dan sistem facial recognition, kad pintar kewangan / perbankan, sistem CCTV dan pengawasan berintegrasi dengan analitik video dan solusi ICT berkaitan kesihatan.

Datasonic telah menjadi pembekal projek kad pengenalan nasional Malaysia (MyKad) sejak tahun 2012 dan pembekal yang menyediakan solusi e-passport berintegrasi yang mematuhi ICAO kepada kerajaan Malaysia sejak 2016.

Datasonic juga merupakan perintis dan salah satu daripada pembekal utama kad ATM/Debit dan solusi serta sistem personalisasi bagi kad kredit dan debit bagi Europay, Mastercard & Visa (EMV). – MalaysiaGazette