Mohamed Azmin Ali

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan menggantikan keseluruhan Dasar Ekonomi Baru tetapi menyemak semula Model Ekonomi Baru untuk memastikan ia berdasarkan keperluan dan bukan perkauman.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut menjamin menjaga keperluan Bumiputera, namun memastikan ia adil kepada semua.

Menurut beliau, semakan bersama rancangan lima tahun itu sedang dilakukan oleh Unit Perancang Ekonomi dan akan dibentangkan kepada kerajaan pada November ini.

Beliau berkata, hasil semakan itu merupakan sebahagian daripada strategi yang menggabungkan kajian jangka pertengahan Rancangan Malaysia Kesebelas (RNK-11) dan manifesto Pakatan Harapan.

“Kita akan membuat penilaian polisi lalu dan akan memperkenalkan hala tuju baru dan polisi-polisi manifesto.

“Kita bukan mahu menggantikan Dasar Ekonomi Baru tetapi perlu menyemak Model Ekonomi Baru untuk pastikan ia dibuat berdasarkan keperluan dan bukan perkauman kerana kita perlu adil kepada semua,” katanya ketika ditemui di Lobi Parlimen.

Ia termasuk keperluan India di luar bandar dan di bandar, komuniti perniagaan Cina dan Bumiputera di Malaysia Timur juga perlu diberi pertimbangan sama.

Azmin berkata, perancangannya DEB adalah untuk jangka panjang, kemungkinan lima tahun tetapi pelan ekonomi yang mampan perlu lebih lama daripada seperti Wawasan 2020.

Jelasnya, cabaran kerajaan sekarang adalah memulihkan keyakinan pelabur termasuk mengekalkan pelaburan langsung asing dan mengukuhkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.

“Ini adalah keutamaan kerajaan sekarang,” ujarnya.

Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 1970 adalah untuk membasmi kemiskinan dan menghapuskan ketidakseimbangan ekonomi.

Manakala Model Ekonomi Baru yang diperkenalkan pada tahun 2010 mahu menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. – MalaysiaGazette