Foto Facebook Baddrol Bakhtiar.

KUALA LUMPUR – Bekas legenda Kedah yang kini bergelar wakil rakyat, Baddrol Bakhtiar mengakui rasa berdebar masih dirasainya ketika hadir ke Stadium Darul Aman menonton perlawanan Kedah Darul Aman (KDA) FC menentang Johor Darul Ta’zim malam tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun memberitahu, tempoh selama 16 tahun beraksi di stadium itu cukup meninggalkan nostalgia yang kuat.

“Setiap kali saya datang ke stadium, debaran yang sama saya rasakan sewaktu bermain 16 tahun dulu bersama pasukan kesayangan, Kedah.

“Aroma bauan rumput di padang, limpahan cahaya gemerlapan, yang paling utama sekali gegaran aura sokongan penonton. Semua penyokong adalah kekuatan kepada pemain di atas padang

“Tahniah Kedah Darul Aman Fc . Permainan begitu menakjubkan dan penuh dngan jiwa Hijau Kuning. Bermainlah demi lencana di dada.! Dengan sepenuh jiwa dan raga,” tulisnya di Facebook.

Malam tadi, satu mata yang berjaya diraih ketika mengikat bakal juara, JJDT 3-3 di Stadium Darul Aman yang dilihat cukup berharga.

Meskipun ia hanyalah satu mata sekadar membantu Skuad Kenari menokok kepada 44 mata dan masih ketinggalan lima mata di belakang Selangor FC (SFC) tetapi keputusan itu memberi signifikan besar kepada saingan Liga Super musim ini.

Ini kerana keputusan terbabit menyaksikan anak buah Nafuzi Zain itu menangguhkan pesta kejuaraan JDT buat kali ke-10 berturut-turut.

Malah mereka meranapkan impian skuad Harimau Selatan mencipta rekod dunia untuk memenangi semua 26 perlawanan liga ketika hanya berbaki enam perlawanan buat mereka.

Selepas terlalu unggul memenangi 20 aksi liga berturut-turut, anak buah Esteban Solari terpaksa menunggu musim depan untuk memburu rekod ‘sempurna’ meskipun hanya selangkah untuk bermain bagi kejuaraan Liga Super kali ke-10 berturut-turut.

Keputusan itu juga membolehkan Kedah menjadi pasukan pertama mencuri mata daripada JDT pada musim ini di sebalik kejayaan skuad Harimau Selatan itu membelasah lawan dengan jumlah gol yang besar.

Malah Skuad Kenari juga ‘dibelasah’ 0-6 oleh JDT pada pusingan pertama di Stadium Sultan Ibrahim, jadi tidak hairanlah mengapa keputusan 3-3 ini diraikan dengan begitu meriah oleh Kedah.

Rekod lain yang turut dilakar kerana usai perlawanan terbabit, Kedah muncul pasukan pertama meledak tiga gol ke atas JDT musim ini selepas hanya dibolosi empat gol dalam 20 perlawanan sebelum ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah pada 12 Ogos lalu, Baddrol yang merupakan bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sabah FC menepati ramalan memenangi kerusi DUN Gurun dengan memperoleh sebanyak 17,771 undi.

Beliau pernah menabur bakti bersama Kedah selama 16 tahun dan juga pernah memenangi pingat emas acara bola sepak Sukan SEA sebanyak dua kali iaitu pada 2009 dan 2011 bersama Skuad Malaysia B-23.

Kali terakhir Baddrol mewakili skuad negara pada kejohanan Piala Suzuki AFF 2020. – MalaysiaGazette