Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali bercakap pada sidang media di Ibupejabat Parti PERKASA di Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 01 OGOS 2017
KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir mufti yang berselisihan pendapat dan berdebat secara terbuka khususnya dinaikkan di akaun peribadi media sosial mereka hanya bukan sahaja mengelirukan bahkan imej Islam turut terjejas.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, sewajarnya semua mufti perlu bertemu untuk berbincang perbezaan pendapat mengenai sesuatu hukum itu, lebih-lebih lagi melibatkan keputusan mahkamah.
“Saya gesa mufti elak berdebat secara terbuka melalui media dan Facebook peribadi.
“Perkara sensitif berkaitan tak jelas terutamanya hukum sewajar mufti, tokoh Islam dan cendikiawan segera bertemu atas semangat musyawarah mencari titik persefahaman,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Perkasa, di sini, hari ini.
Beliau mengulas perbalahan antara Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan anak tidak sah taraf berbinkan nama bapanya.
Mahkamah berpendirian, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selaku responden kedua telah bertindak di luar bidang kuasa ketika mendaftarkan ‘Abdullah’ sebagai nama bapa kepada kanak-kanak itu dalam sijil kelahirannya.
Sabtu lalu, Asri atau Dr. Maza menyifatkan Jabatan Pendaftaran Negara bertindak di luar kuasanya apabila menggunakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan seorang kanak-kanak Islam sebagai satu langkah ‘tidak menghukum anak yang tidak bersalah’.
Bagaimanapun pendapat Dr Maza itu dibidas oleh Mufti Perak yang menyifatkan pandangan baharu terhadap isu ini boleh menjurus kepada menghalalkan zina pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, Ibrahim juga melihat perdebatan terbuka itu semakin tidak terkawal khususnya melibatkan hukum dan syariat Islam.
“Kalau mufti tak boleh kawal diri dan masing-masing nak tunjuk pandai, jadi mereka kena buat secara tertutup.
“Ketua Pengarah Jakim pusat dan negeri mesti ada kerjasama berkesan terutamanya keputusan yang dibuat oleh mahkamah, wajib bersidang dalam tempoh 24 jam bagi mengelakkan masing-masing beri pandangan,” katanya. – MalaysiaGazette.