Pegawai Daerah Muar, Onn Jabar bercakap pada sidang media berkenaan program debat diantara calon Barisan Nasional P.146 Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan P.146 Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2018.
Pegawai Daerah Muar, Onn Jabar bercakap pada sidang media berkenaan program debat diantara calon Barisan Nasional P.146 Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon Pakatan Harapan P.146 Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar, Johor. foto HAZROL ZAINAL, 07 MEI 2018.

MUAR – Sembang santai yang dirancang antara ketiga-tiga calon Parlimen Muar di kediaman rasmi Pegawai Daerah Muar di sini hari ini bagi mengantikan debat bertukar kepada perbincangan tertutup sahaja.

Pegawai Daerah merangkap Pengerusi Keselamatan Daerah Muar, Onn Jabbar berkata, tindakan itu dicapai selepas ketiga-tiga calon, Datuk Seri Razali Ibrahim (Barisan Nasional), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Pakatan Harapan) dan Abdul Aziz Talib (Pas) bersetuju atas sebab keselamatan.

“Selepas perbincangan diadakan pada pukul 12 tengahari tadi antara ketiga-tiga calon ini debat yang dirancang semalam dan hari ini tidak akan berlaku.

“Ini kerana mereka bersetuju meletakkan faktor keselamatan dan ketenteraman awam menjadi keutamaan,” katanya pada sidang akhbar di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah Muar di sini hari ini.

Semalam, debat yang dirancang diadakan di Hotel Traders di sini bertukar kepada dialog antara Syed Saddiq bersama penyokong Pakatan Harapan (PH) selepas calon BN, Razali tidak hadir berikutan mendapat nasihat daripada pihak berkuasa.

“Secara jujurnya perjumpaan hari ini bukan debat tetapi diadakan untuk perbincangan mengenai isu ini dan kesemua calon menghormati keputusan Pengerusi Keselamatan Parlimen Muar,” katanya.

Dalam pada itu, Onn memberi nasihat agar kesemua jentera parti menjalankan kempen secara berhemah dan sihat selain menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.-MalaysiaGazette